BANGKOK: Sambutan perayaan Songkran di Bangkok tahun ini akan berlangsung tanpa alkohol dan dihadkan sehingga jam 10 malam bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam.
Gabenor Bangkok berkata, arahan itu merangkumi larangan penjualan dan pengambilan minuman keras di semua lokasi utama sambutan, termasuk Jalan Khaosan dan Jalan Silom, lapor media tempatan.
Menurut pihak berkuasa tempatan dalam satu kenyataan, langkah berkenaan diambil bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya, pergaduhan serta kejadian tidak diingini yang sering dikaitkan dengan pengambilan alkohol berlebihan sepanjang musim perayaan.
Selain itu, semua aktiviti siraman air di kawasan tumpuan pelancong diwajibkan tamat sepenuhnya pada jam 10 malam (waktu tempatan), bagi membolehkan kerja pembersihan dan kawalan keselamatan dilaksanakan segera.
Songkran akan berlangsung dari 11 hingga 15 April.
Di Bangkok, sekurang-kurangnya 88 lokasi acara akan diadakan di seluruh bandar, termasuk kawasan pesta air yang ditetapkan sebagai zon bebas alkohol.
Lokasi utama sambutan Songkran termasuk di Lan Khon Mueang, Dataran Bandaraya Bangkok, Jalan Silom, Jalan Khao San, Dataran Siam dan CentralWorld.
Polis Diraja Thailand memberi amaran bahawa mana-mana individu yang melanggar peraturan tersebut boleh dikenakan kompaun serta-merta mengikut peruntukan undang-undang tempatan.
Meskipun terdapat sekatan waktu dan larangan alkohol, pelbagai aktiviti kebudayaan, perarakan keagamaan serta persembahan tradisional tetap diteruskan di seluruh bandar raya bagi menarik kehadiran pelancong luar negara.
Penganjur turut menasihatkan orang ramai supaya menggunakan pengangkutan awam dan perkhidmatan dalam talian bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas yang dijangka meningkat di pusat bandar sepanjang tempoh perayaan.
Untuk rekod, Songkran merupakan antara festival terbesar di Asia Tenggara yang menandakan bermulanya tahun baharu mengikut kalendar tradisional Thailand.