SINGAPURA: Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Persatuan Pasaran Jongkong Singapura (SBMA) hari ini menetapkan bidang tumpuan utama untuk mengukuhkan kedudukan negara ini sebagai pusat dagangan emas yang dipercayai bagi rantau Asia-Pasifik.
Dalam kenyataan bersama pada Jumaat, kedua-dua pihak menjelaskan langkah itu termasuk membangunkan produk pasaran modal berkaitan emas untuk memudahkan penetapan harga dan meningkatkan kecairan.
Selain itu, mengamalkan standard yang teguh dan selaras dengan piawaian antarabangsa bagi penyimpanan dan logistik, menurutnya.
Kedua-dua pihak juga akan membangunkan sistem penjelasan untuk menyokong penyelesaian urus niaga kaunter yang selamat dan cekap bagi dagangan emas jongkong besar dan jongkong kilo di Singapura.
“Secara keseluruhannya, semua usaha ini akan meningkatkan keyakinan pasaran dan meletakkan Singapura sebagai pusat emas serantau yang dipercayai dan dinamik, melengkapkan pusat-pusat emas utama lain.
“Matlamat kami adalah untuk menyokong aktiviti bernilai tinggi di sini, mewujudkan pekerjaan berkualiti untuk rakyat Singapura, meningkatkan daya tahan dan kepelbagaian bagi sektor kewangan Singapura, serta memberi manfaat kepada peserta pasaran di Singapura dan rantau ini,” menurut kedua-dua pihak itu.
Bidang tumpuan utama itu dibangunkan oleh Kumpulan Kerja Pembangunan Pasaran Emas yang ditubuhkan oleh MAS dan SBMA pada Januari 2026, hasil daripada perbincangan terperinci dan kajian bersama-sama peserta industri pada 2025.
“Kumpulan kerja ini terdiri daripada pihak berkepentingan utama sektor swasta yang melaksanakan peranan penting dalam mengembangkan pasaran emas Singapura dan menarik lebih banyak minat pelabur,” tambahnya.
-- BERNAMA