Skip to main content

Dunia

Singapura perkenal pengecaman wajah bagi penunggang motosikal di pos kawalan darat bermula 31 Mac

81494995513_WoodlandsSingapura.jpg
Pengenalan biometrik itu merupakan sebahagian daripada Konsep Pelepasan Baharu (NCC) bagi memberikan pengalaman pelepasan imigresen tanpa sentuh, selamat, dan lebih pantas. - Gambar fail/Bernama

SINGAPURA: Singapura bakal melaksanakan sistem pengecaman wajah bagi menggantikan imbasan cap jari untuk penunggang dan pembonceng motosikal yang melalui proses imigresen di pusat pemeriksaan darat bermula 31 Mac ini.

Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan bahawa pengenalan biometrik itu merupakan sebahagian daripada Konsep Pelepasan Baharu (NCC) bagi memberikan pengalaman pelepasan imigresen tanpa sentuh, selamat, dan lebih pantas.

Menurut kenyataan itu, inisiatif berkenaan akan tersedia di 18 lorong motosikal automatik di zon ketibaan Pusat Pemeriksaan Woodlands sebelum diperluas secara berperingkat ke semua 70 lorong automatik ketibaan dan keberangkatan di pusat pemeriksaan itu.

 Pusat Pemeriksaan Tuas pula dijadual melaksanakan inisiatif serupa pada suku ketiga tahun 2026.

"Inisiatif ini tersedia untuk penduduk Singapura, pemegang pas jangka panjang, serta pelawat asing yang pernah memasuki Singapura sebelum ini.

"Pelawat asing yang pertama kali berkunjung atau mereka yang memasuki semula Singapura menggunakan pasport berbeza daripada perjalanan sebelum ini perlu melalui pelepasan imigresen secara manual," kata ICA.

Ia berkata pelawat berkenaan boleh menggunakan lorong motosikal automatik melalui kod QR dan pengecaman wajah untuk perjalanan seterusnya.

Menurut ICA, lebih 150,000 penunggang dan pembonceng motosikal telah menyertai percubaan inisiatif imej wajah itu sejak Januari 2026.

"Berdasarkan maklum balas dan pemerhatian di lapangan, ICA telah meningkatkan keupayaan sistem untuk mengesan halangan pada wajah (contohnya pelitup muka atau cermin mata hitam) dan memperkenalkan paparan arahan pada skrin bagi membimbing pengguna menanggalkan halangan berkenaan bagi membolehkan imbasan wajah dilakukan," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video