Skip to main content

Dunia

Singapura jalankan kaji selidik pelepasan dengan bantuan susulan konflik Asia Barat

71743338134_TBsingapore.jpg
- Gambar fail/BERNAMA

SINGAPURA: Kementerian Luar Singapura (MFA) dan perwakilannya di Asia Barat sedang menjalankan kaji selidik bagi menilai tahap minat rakyat Singapura untuk berlepas dengan bantuan susulan penutupan lapangan terbang akibat konflik yang berterusan di rantau itu.

Kedutaan Besar Singapura di Abu Dhabi dan Konsulat Jeneral di Dubai memaklumkan dalam satu hantaran Facebook pada Selasa bahawa rakyat Singapura mungkin perlu melakukan perjalanan ke negara jiran bagi mendapatkan laluan selamat untuk keluar dari rantau berkenaan.

"Ia mungkin termasuk perjalanan darat melalui pusat pemeriksaan yang sesak."

"Harap maklum bahawa mungkin tidak dapat dilaksanakan untuk memudahkan pelepasan dari semua wilayah dan lapangan terbang," menurut kenyataan itu, sambil menambah bahawa tinjauan berkenaan adalah untuk menilai minat terhadap pelepasan dengan bantuan dan bukan pengesahan bahawa operasi pemindahan akan dilaksanakan.

Misi itu turut menegaskan bahawa individu yang memerlukan bantuan perlu menanggung semua kos perjalanan, termasuk tiket penerbangan, pengangkutan darat, dokumen perjalanan, visa dan penginapan sementara.

 

Sementara itu, Kedutaan Besar Singapura di Doha dalam satu hantaran Facebook memaklumkan bahawa pihaknya sedang mengumpulkan maklum balas rakyat Singapura mengenai minat untuk pelepasan darat dengan bantuan dari Qatar ke Arab Saudi.

"Harap maklum bahawa perjalanan adalah menggunakan perkhidmatan bas selama tujuh jam dari Doha ke Riyadh.

"Dari Riyadh, rakyat Singapura boleh menaiki penerbangan komersial sambungan ke bandar atau negara ketiga untuk kembali ke Singapura," menurut kenyataan itu.

Ia turut menegaskan bahawa memandangkan situasi yang sentiasa berubah, misi itu mungkin turut mempertimbangkan perjalanan bas selama 17 jam ke Jeddah, yang penerbangan komersial ke Singapura masih beroperasi.

Tinjauan itu boleh diakses melalui https://go.gov.sg/middle-east-survey-of-intent

-- BERNAMA

Must Watch Video