Skip to main content

Dunia

Singapura hadkan dua bank kuasa untuk penumpang penerbangan bermula 15 April

61747227866_changiairportgroup.jpg
Pengarah piawaian penerbangan CAAS Foong Ling Huei berkata keperluan baharu itu akan membantu mengurangkan risiko kebakaran yang disebabkan oleh bank kuasa dalam penerbangan. - Gambar hiasan

SINGAPURA: Penumpang yang berlepas dari Singapura hanya dibenarkan membawa maksimum dua bank kuasa bagi setiap seorang dalam penerbangan mulai 15 April, kata Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS).

Dalam kenyataan pada Isnin, CAAS memaklumkan penumpang yang membawa lebih daripada dua bank kuasa akan dikehendaki membuang lebihan peranti mudah alih itu sebelum penerbangan.

"Bank kuasa juga tidak boleh dicaj di dalam pesawat dan penumpang dinasihatkan supaya tidak menggunakan bank kuasa untuk mengecas peranti mereka semasa penerbangan," katanya.

Sekatan baharu CAAS itu berikutan tambahan kepada Arahan Teknikal untuk Pengangkutan Selamat Barang Berbahaya melalui Udara yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) pada 2 April, yang mengemas kini keperluan keselamatan berkaitan dengan pembawaan dan penggunaan bank kuasa di dalam pesawat.

"Bateri litium dalam bank kuasa boleh menjadi terlalu panas atau litar pintas, menimbulkan bahaya kebakaran dan keselamatan dalam penerbangan.

"Keperluan baharu ICAO iaitu maksimum dua bank kuasa bagi setiap penumpang dan sekatan ke atas pengecasan dan penggunaan bank kuasa dalam penerbangan bertujuan mengurangkan risiko kebakaran sambil memenuhi keperluan perjalanan penumpang,” menurut CAAS.

Pengarah piawaian penerbangan CAAS Foong Ling Huei berkata keperluan baharu itu akan membantu mengurangkan risiko kebakaran yang disebabkan oleh bank kuasa dalam penerbangan.

"Kami menggesa semua penumpang membiasakan diri dan mematuhi keperluan baharu, demi keselamatan mereka sendiri dan penumpang lain," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video