SINGAPURA: Singapura merekodkan 160 laporan berkaitan rasuah pada 2025, penurunan 10 peratus berbanding 177 kes yang dicatatkan pada tahun sebelumnya, menurut Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB).
Dalam satu kenyataan pada Selasa, CPIB memaklumkan yang ia turut mendaftarkan 68 laporan sebagai kes baharu untuk siasatan tahun lepas, berdasarkan kualiti maklumat berkaitan yang diberikan.
Menurut CPIB, daripada 160 laporan berkaitan rasuah yang diterima pada 2025, sebanyak 56 (35 peratus) adalah tanpa nama, manakala 16 kes (24 peratus) daripada 68 laporan baharu juga adalah tanpa nama.
“Daripada 68 kes yang didaftarkan untuk siasatan pada 2025, satu melibatkan sektor awam. Sebanyak 22 kes melibatkan kakitangan sektor awam yang menolak rasuah yang ditawarkan oleh orang awam,” katanya.
CPIB menyatakan yang 90 individu didakwa di mahkamah atas kesalahan yang disiasat oleh agensi itu pada 2025, yang mana 84 daripadanya adalah individu daripada sektor swasta manakala enam lagi adalah kakitangan sektor awam.
“Berdasarkan kes pekerja sektor swasta yang didakwa di mahkamah bagi kesalahan berkaitan rasuah sepanjang 10 tahun lepas, sektor pembinaan, pembuatan, pengangkutan dan penyimpanan merupakan industri utama yang terdedah kepada rasuah,” katanya.
CPIB menegaskan yang Singapura terus mendapat pengiktirafan antarabangsa atas pendekatan dan usaha memerangi rasuah.
Indeks Persepsi Rasuah Transparency International (TI-CPI) 2025 meletakkan Singapura sebagai negara ketiga paling kurang rasuah daripada 182 negara, dengan skor 84 daripada 100, tidak berubah berbanding tahun sebelumnya.
-- BERNAMA