GENEVA: Bekas Perdana Menteri Britain, Gordon Brown, menggesa penubuhan sebuah mahkamah jenayah antarabangsa khas yang memfokuskan pendakwaan jenayah terhadap kanak-kanak susulan peningkatan drastik serangan ke atas kemudahan pendidikan dalam konflik global.
Brown berkata tindakan mengebom sekolah hingga mengubah institusi pendidikan menjadi “tanah perkuburan” adalah kegagalan jelas dalam tanggungjawab undang-undang untuk melindungi orang awam, khususnya kanak-kanak, lapor The Guardian.
Mahkamah yang dicadangkan itu akan mempunyai bidang kuasa khusus bagi melengkapi Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), dengan tumpuan terhadap jenayah seperti pengeboman sekolah, penculikan pelajar dan penghambaan kanak-kanak oleh kumpulan bersenjata.
“Tiada tempat persembunyian bagi pemimpin yang membenarkan serangan ke atas kanak-kanak,” katanya sambil menegaskan bahawa mereka yang mengarahkan atau merestui serangan sedemikian perlu berdepan waran tangkap serta pendakwaan setaraf penjenayah perang lain.
Beliau turut menggesa negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memperkukuh mekanisme pemantauan dan pelaporan terhadap kanak-kanak dalam konflik bersenjata.
Gesaan itu dibuat susulan serangan terhadap sebuah sekolah rendah di Minab, Iran, yang mengorbankan lebih 160 murid perempuan baru-baru ini.