KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan undang-undang sahaja tidak memadai dalam memerangi rasuah, sebaliknya usaha itu perlu diperkukuh melalui pembudayaan integriti dan amalan tatakelola yang baik secara menyeluruh, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar dalam catatan menerusi Facebook beliau berkata pendekatan bersepadu melibatkan sektor awam, swasta serta masyarakat penting bagi memastikan agenda pencegahan rasuah dapat dilaksanakan secara berkesan dan berterusan.
Beliau berkata perkara itu ditegaskan ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) yang turut bersetuju melaksanakan Program Pegawai Integriti Bertauliah sebagai antara langkah memperkukuh tatakelola nasional.
Anwar berkata isu ketirisan wang awam dan salah guna kuasa bukan sahaja merencatkan tadbir urus negara, malah menjejaskan kesejahteraan rakyat termasuk kesihatan awam, alam sekitar serta integriti nasional.
“Kerajaan kekal fokus memperkasa agenda tatakelola bagi memastikan integriti dan ketelusan terus menjadi teras perkhidmatan awam demi menjunjung amanah rakyat serta memperteguh keyakinan terhadap institusi negara,” katanya.
-- BERNAMA