TEHRAN: Sekurang-kurangnya 153 orang, termasuk kanak-kanak, dilaporkan terkorban apabila sebuah sekolah perempuan di Minab, wilayah Hormozgan, terkena serangan peluru berpandu pada Sabtu, menurut pegawai Iran.
Lokasi sekolah itu terletak kira-kira 600 meter dari sebuah pangkalan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), yang sebelum ini pernah menjadi sasaran serangan.
Iran menuding jari kepada Amerika Syarikat (AS) dan Israel atas serangan tersebut, namun kedua-dua negara menafikan pembabitan langsung.
Pihak tentera Israel menyatakan mereka “tidak mengetahui” sebarang operasi di kawasan itu, manakala Komando Pusat Tentera AS (Centcom) pula berkata mereka sedang meneliti laporan berhubung insiden berkenaan serta menegaskan bahawa perlindungan orang awam merupakan keutamaan operasi.
Serangan berlaku pada hari bekerja di Iran, yang berlangsung dari Sabtu hingga Khamis, menjadikan sekolah tersebut hampir pasti beroperasi ketika misil mengenai bangunan itu.
Pegawai bantuan kemanusiaan dalam pergerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah menyatakan pasukan tindak balas telah digerakkan segera selepas laporan awal kejadian diterima.
Mereka memaklumkan bahawa sekolah itu telah menjadi sasaran tiga peluru berpandu.
Klip yang berjaya disahkan BBC menunjukkan asap tebal berkepul dari bangunan sekolah, manakala orang ramai dilihat berlari dalam keadaan cemas dan jeritan panik kedengaran di lokasi kejadian.
Namun begitu, agensi berita antarabangsa mengakui bahawa mereka sukar mengesahkan angka korban secara bebas kerana sekatan visa sering menghalang liputan terus dari Iran.
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, mengecam insiden itu sebagai satu tindakan “biadab” serta menyifatkannya sebagai “satu lagi catatan hitam” dalam senarai jenayah pihak yang menyerang negara itu.
Penduduk Iran di media sosial pula meluahkan rasa tidak puas hati, dengan ada yang menyalahkan pihak luar, manakala sebahagian lagi mempertikaikan kerajaan Iran sendiri kerana gagal menyediakan perlindungan awam dan amaran awal kepada penduduk.
Seorang pengguna yang menetap di luar negara menulis bahawa “mangsa pertama perang ini ialah kanak-kanak perempuan di Minab”, mengkritik pihak-pihak yang menyokong tindakan ketenteraan di Iran.
Yang lain pula menegaskan bahawa tanpa tempat perlindungan, talian komunikasi yang terganggu, serta tiada arahan melarang kehadiran murid ke sekolah, kematian kanak-kanak tetap terletak di bawah tanggungjawab pemerintah.
Menurut Bulan Sabit Merah Iran, 201 kematian telah direkodkan di seluruh negara sejak gelombang serangan udara bermula pada Sabtu, manakala 747 lagi cedera dalam serangan-serangan yang berlaku di beberapa bandar.
Aset ketenteraan dan infrastruktur strategik Iran turut terus disasarkan dalam siri serangan yang melanda negara itu sepanjang hujung minggu.
Serangan pada sekolah berkenaan berlaku dalam konteks ketegangan paling serius antara Iran, AS dan Israel dalam beberapa dekad.
Hanya sehari sebelum itu, Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei, terbunuh dalam satu serangan udara besar-besaran yang turut menyasarkan tokoh kanan ketenteraan dan politik negara itu.
Gelombang serangan balas Iran serta tindakan agresif seterusnya oleh AS dan Israel menjadikan keadaan semakin tidak menentu.
Walaupun rakaman dan imej lokasi sekolah di Minab telah disahkan sebagai tulen oleh beberapa pihak bebas, angka sebenar korban kekal tidak dapat dipastikan kerana tahap akses yang terhad.
Bagi keluarga mangsa di Minab, tragedi ini menambah parut baharu dalam suasana perang yang semakin memuncak dan belum menunjukkan tanda reda.