Skip to main content

Dunia

Serangan ke atas institusi pendidikan ancaman kepada komuniti saintifik global

SERANGAN UNIVERSITI IRAN
Imej menunjukkan kesan kemusnahan universiti-universiti di Iran kesan serangan Amerika Syarikat dan Israel. -Gambar Kedutaan Iran di Malaysia

KUALA LUMPUR: Serangan terhadap institusi awam termasuk universiti merupakan pelanggaran terbuka terhadap undang‑undang kemanusiaan antarabangsa dan ancaman serius kepada komuniti saintifik global.

Pejabat Kaunselor Sains untuk Asia Tenggara dan Oceania di Kedutaan Republik Islam Iran di Malaysia dalam satu kenyataan menegaskan bahawa universiti sebagai institusi awam menikmati perlindungan dan imuniti di bawah undang‑undang antarabangsa.

“Sebarang pencerobohan terhadap pusat-pusat ini merupakan pelanggaran terbuka terhadap prinsip undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” katanya melalui kenyataan yang disiarkan hari ini.

Kenyataan itu merujuk kepada serangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap pusat-pusat pendidikan tinggi di Iran melibatkan Universiti Sains dan Teknologi Iran serta Universiti Teknologi Isfahan.

Pejabat tersebut turut memetik prinsip utama dalam Konvensyen Geneva, Konvensyen Hague, dokumen UNESCO, serta Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), yang menegaskan bahawa serangan sengaja ke atas pusat pendidikan boleh membawa tindakan undang‑undang di peringkat antarabangsa.

Kenyataan itu menyeru Pertubuhan Bangsa‑Bangsa Bersatu (PBB), Majlis Hak Asasi Manusia, dan UNESCO agar melaksanakan tanggungjawab mereka dalam melindungi sains, pendidikan dan komuniti akademik.

“Sains tidak mengenal sempadan, dan kerosakan terhadapnya adalah kerosakan terhadap masa depan umat manusia,” katanya lagi.

Kenyataan itu turut menegaskan komuniti saintifik Iran akan meneruskan usaha berteraskan ilmu, ketahanan, dan kerjasama antarabangsa.

 

Must Watch Video