Skip to main content

Dunia

Serangan baharu Israel korbankan 16 orang di selatan Lubnan

Damaged cars after an Israeli strike, which killed Ghadir Baalbaki, 19, and wounded her two sisters, in Tyre, south Lebanon, April 15, 2026. REUTERS/Louisa Gouliamaki
Sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh dan beberapa lagi cedera pada Rabu dalam serangan udara Israel yang menyasarkan beberapa kawasan di selatan Lubnan. - Foto REUTERS

ISTANBUL: Sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh dan beberapa lagi cedera pada Rabu dalam serangan udara Israel yang menyasarkan beberapa kawasan di selatan Lubnan, lapor Anadolu Ajansi, memetik media Lubnan.

Pasukan Pertahanan Awam dan Persatuan Pengakap Risala Islam mengeluarkan empat mayat dan menyelamatkan tiga mangsa cedera dari runtuhan selepas satu serangan udara mengenai kompleks Al-Khodra di kawasan Qadmous, menurut Agensi Berita Nasional (NNA) yang dikendalikan kerajaan.

Di bandar Ansariyeh, lima orang terbunuh dalam serangan pada waktu subuh, menurut agensi itu.

Tiga lagi cedera dalam serangan udara Israel yang menyasarkan kawasan Abbasiya di daerah Tyre, tambahnya.

Di bandar Jbaa di daerah Nabatieh, serangan udara Israel ke atas sebuah rumah mengorbankan seorang lelaki, isterinya serta dua anak mereka, menurut sumber sama.

Dua anggota paramedik turut terbunuh dalam serangan Israel yang menyasarkan pasukan penyelamat daripada Pihak Berkuasa Kesihatan Islam, Ambulans Nabatieh dan Pengakap Risala Islam di Maydafoun, menurut NNA.

Seorang warga Syria terbunuh dan seorang lagi cedera dalam serangan dron ke atas bandar Harouf di daerah Nabatieh.

Satu lagi serangan Israel turut menyasarkan sebuah kenderaan di kawasan Saadiyat di Gunung Lubnan, menurut agensi berita itu.

Tentera Israel telah memperluas serangan udara dan darat di seluruh Lubnan sejak serangan rentas sempadan oleh Hizbullah pada 2 Mac.

Serangan pada Rabu itu berlaku selepas Israel dan Lubnan mengadakan rundingan diplomatik langsung pertama dalam tempoh beberapa dekad pada Selasa di Washington.

Menurut pihak berkuasa kesihatan Lubnan, sekurang-kurangnya 2,124 orang terbunuh dan hampir 7,000 cedera dalam serangan Israel sejak 2 Mac.

Israel menduduki beberapa kawasan di selatan Lubnan, sebahagiannya sejak beberapa dekad lalu dan selebihnya sejak konflik sebelum ini antara Oktober 2023 hingga November tahun berikutnya.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video