JAKARTA: Konflik yang berterusan di Asia Barat telah meningkatkan sentimen risiko di pasaran global sekali gus mencetuskan aliran keluar modal daripada pasaran pesat membangun termasuk Indonesia yang merekodkan aliran keluar kira-kira 21 trilion rupiah (1 juta rupiah = RM232).
Timbalan Gabenor Kanan Bank Indonesia, Destry Damayanti berkata, keadaan itu telah mendorong sentimen mengelakkan risiko dalam kalangan penggiat pasaran apabila pelabur cenderung untuk menjauhkan risiko dan beralih kepada aset selamat.
“Keadaan ini telah menyebabkan aliran modal kembali kepada ekonomi maju, yang diperlihatkan melalui pengukuhan indeks dolar AS dan peningkatan hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) yang telah mencapai 4.5 peratus hingga 4.6 peratus,” katanya pada Forum Perbankan Pusat 2026 di Jakarta pada Isnin, menurut laporan Agensi Berita ANTARA.
Destry bagaimanapun berkata, aliran modal ke pasaran pesat membangun termasuk Indonesia telah menyusut.
Beliau berkata, walaupun terdapat aliran masuk ke atas sekuriti kerajaan (SBN), ekuiti dan Sekuriti Rupiah Bank Indonesia (SRBI), secara keseluruhannya, Indonesia masih merekodkan aliran keluar modal sekitar 21 trilion rupiah.
Menurut Destry, penglibatan AS sebagai pusat kewangan global dalam konflik itu juga telah memberi kesan tidak langsung yang besar kepada ekonomi global melalui saluran kewangan.
“Selain itu, kedudukan strategik Iran di rantau ini telah menyebabkan ketidaktentuan dalam pasaran kewangan global sekali gus meningkatkan sentimen risiko menyeluruh, yang bukan sahaja berlaku di kawasan konflik,” katanya.
Destry berkata, perang itu turut memberi tekanan kepada keadaan ekonomi global, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia bagi 2026 dijangka menyusut kepada 3.1 peratus berbanding unjuran sebelumnya iaitu sekitar 3.2 peratus manakala inflasi global diunjurkan meningkat daripada 3.8 peratus kepada 4.1 peratus.
“KDNK global pula akan menjadi lebih perlahan berbanding 2025 tetapi kadar inflasi adalah tinggi.
“Oleh itu, keadaan ini tidak begitu positif kepada ekonomi global, iaitu stagflasi, ekonomi perlahan dengan inflasi yang semakin meningkat,” katanya.
Destry berkata, walaupun pengeluaran minyak Iran hanya menyumbang sekitar lima peratus daripada jumlah pengeluaran global, kedudukan strategik Selat Hormuz sebagai laluan pengedaran untuk kira-kira 20 peratus daripada bekalan minyak dunia merupakan satu faktor penting.
Menurut Destry, ketidakpastian mengenai perjanjian gencatan senjata antara AS dan Iran terus memburukkan lagi keadaan, dengan kegagalan rundingan yang berlangsung di Pakistan sehingga mengakibatkan harga minyak melonjak kepada sekitar AS$100 setong (AS$1=RM3.96), diikuti dengan mata wang yang semakin lemah di peringkat serantau dan global.
Beliau berkata, kenaikan harga minyak turut memberi kesan tidak langsung kepada komoditi lain, iaitu daripada emas sebagai aset selamat kepada komoditi perindustrian dan tenaga seperti arang batu, aluminium dan minyak sawit mentah.
Katanya, gangguan di selat itu turut mencetuskan masalah rantaian bekalan global, yang menjejaskan negara seperti Emiriah Arab Bersatu dan Arab Saudi selain memberi impak bekalan kepada rakan dagang utama Iran termasuk China, Iraq, Turkiye dan India.
Destry berkata, keadaan itu menyebabkan kos penghantaran dan premium insurans yang tinggi sekali gus menjejaskan lagi kestabilan pengedaran barangan antarabangsa.
Beliau berkata ,kesan berantai itu juga telah menjejaskan industri hiliran termasuk kenaikan harga bahan mentah plastik dan produk pertanian yang berkait rapat dengan sistem pengeluaran dan pengedaran global.
“Tindak balas dasar (disebabkan pelbagai kesan perang) adalah lebih penting. Beberapa negara sedang melaksanakan tindak balas dasar, dengan dasar fiskal dijangka lebih bersifat pengembangan dan pasti akan bergerak ke arah itu.
“Dasar monetari juga akan cenderung mengalami penurunan, tetapi mereka akan lebih berhati-hati. Mengapa? Ini kerana masing-masing bersaing untuk menjadikan aset kewangan lebih menarik.
“Oleh itu, inilah situasi yang dihadapi oleh ekonomi global,” katanya.
-- BERNAMA