Skip to main content

Dunia

Hak pelayaran: 'Selat Hormuz tidak boleh disekat, tidak perlu dirunding' - Pakar

A map showing the Strait of Hormuz and a 3D-printed miniature model depicting U.S. President Donald Trump are seen in this illustration taken March 23, 2026. REUTERS/Dado Ruvic/Illustration
Donald Trump memaklumkan tentera lautnya akan mula menyekat Selat Hormuz, sekali gus meningkatkan ketegangan selepas rundingan panjang dengan Iran gagal mencapai persetujuan untuk menamatkan konflik. - Foto REUTERS

KUALA LUMPUR: Laluan di Selat Hormuz adalah hak undang-undang antarabangsa yang dijamin di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) dan tidak tertakluk kepada rundingan atau keizinan negara pesisir.

Pakar undang-undang laut antarabangsa, Prof Madya Mohd Hazmi Mohd Rusli berkata, Selat Hormuz diklasifikasikan sebagai selat yang digunakan untuk pelayaran antarabangsa.

“Rejim ini memberikan hak kepada semua kapal untuk melalui selat tersebut secara berterusan dan tanpa halangan. Hak ini bukan bersifat pilihan atau ihsan mana-mana negara pesisir, tetapi merupakan hak undang-undang yang jelas,” kata Koordinator Unit Undang-Undang Antarabangsa, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu.

Beliau berkata demikian dalam satu analisis mengenai krisis terbaharu di Selat Hormuz yang dikongsikan kepada Astro AWANI.

Beliau berkata negara pesisir tidak mempunyai kuasa untuk menangguhkan atau menggantung hak laluan transit, termasuk ketika berlaku konflik, memandangkan prinsip itu diwujudkan bagi memastikan laluan maritim strategik dunia tidak dijadikan alat tekanan politik.

Mengulas laporan bahawa kapal Malaysia tidak dikenakan sebarang 'tol' untuk melalui Selat Hormuz hasil rundingan diplomatik, Mohd Hazmi menegaskan isu sedemikian tidak seharusnya timbul kerana UNCLOS, khususnya Artikel 26, melarang negara pesisir daripada mengenakan sebarang caj semata-mata atas alasan laluan pelayaran.

“Sebarang bayaran hanya boleh dikenakan bagi perkhidmatan khusus yang benar-benar diberikan dan bukan sebagai syarat untuk transit. Mengangkat ketiadaan bayaran sebagai kejayaan diplomatik berisiko mengelirukan serta menormalisasikan sesuatu yang tidak dibenarkan oleh undang-undang antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata persepsi bahawa kapal perlu mendapatkan kebenaran atau ‘lampu hijau’ daripada negara pesisir untuk melalui Selat Hormuz boleh membawa implikasi jangka panjang terhadap kebebasan pelayaran antarabangsa.

“Jika naratif ini dibiarkan berakar, hak yang sepatutnya dinikmati oleh semua negara akan bertukar menjadi sesuatu yang perlu dirunding atau dipohon, sekali gus membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa di selat strategik lain,” katanya.

Mohd Hazmi turut merujuk pendirian Singapura yang menegaskan negara itu tidak akan berunding untuk mendapatkan laluan di Selat Hormuz kerana hak tersebut telah dijamin oleh undang-undang antarabangsa.

Menurut beliau, pendekatan itu mencerminkan komitmen terhadap prinsip undang-undang laut global, meskipun diplomasi kekal penting dalam meredakan ketegangan dan mengelakkan salah faham dalam situasi krisis.

“Diplomasi tidak seharusnya menggantikan prinsip, atau memberikan gambaran bahawa prinsip undang-undang antarabangsa boleh diketepikan atas alasan praktikal atau politik jangka pendek,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa cabaran sebenar bagi negara maritim, termasuk Malaysia, adalah memastikan keseimbangan antara pendekatan diplomatik pragmatik dan pemeliharaan prinsip undang-undang antarabangsa agar kebebasan pelayaran global terus terpelihara.

Must Watch Video