WASHINGTON: Sekurang-kurangnya enam orang terkorban dan puluhan lagi cedera selepas beberapa puting beliung melanda Michigan dan Oklahoma dalam siri ribut kuat yang merentasi beberapa wilayah di Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat, menurut pegawai tempatan.
Pihak berkuasa memaklumkan bahawa empat kematian direkodkan di selatan Michigan manakala dua lagi di Oklahoma, ketika pasukan penyelamat masih menilai tahap kerosakan dan meneruskan operasi mencari serta menyelamat.
Ribut tersebut menyebabkan pokok tumbang, merosakkan talian elektrik, memusnahkan bangunan dan menghempapkan bumbung rumah-rumah di kawasan yang terjejas.
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) memberi amaran bahawa cuaca buruk dijangka berlarutan hingga hujung minggu, termasuk ribut petir dan banjir kilat dari Great Plains hingga Texas.
Di Michigan, Pejabat Sheriff Daerah Branch melaporkan tiga kematian dan 12 kecederaan berhampiran Union City selepas sebuah tornado melanda kawasan itu pada Jumaat.
Gangguan bekalan elektrik dan penutupan jalan dijangka berterusan sepanjang hujung minggu.
Kira-kira 80 kilometer dari lokasi itu, pihak berkuasa Daerah Cass melaporkan seorang lagi maut dan beberapa cedera.
“Beberapa struktur besar, termasuk rumah dan bangsal, mengalami kerosakan besar sehingga ada yang musnah sepenuhnya,” menurut kenyataan mereka.
Ratusan penduduk juga dilaporkan terputus bekalan elektrik.
Video yang dikongsi di media sosial menunjukkan pusaran angin besar melanda Union City, manakala serpihan bangunan dan debu berterbangan di kawasan tempat letak kereta di bandar Three Rivers.
Seorang penduduk tempatan menggambarkan detik cemas melihat puting beliung menghampiri kawasan kejiranannya.
“Kami lihat dari tingkap dan nampak puting beliung itu bergerak terus ke arah kawasan di mana anak perempuan saya berada, ibu bapa saya, dan rumah saya di jalan itu,” katanya kepada CBS News.
“Saya sangat bersyukur Tuhan melindungi keluarga saya.”
Gabenor Michigan, Gretchen Whitmer, mengisytiharkan darurat negeri bagi daerah Branch, Cass dan St Joseph.
“Kami bekerjasama dengan pasukan kecemasan untuk memantau situasi dan menyelaras bantuan bagi mereka yang terjejas,” katanya sambil menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
Di Oklahoma, pengurus kecemasan daerah, Jeff Moore, berkata sebuah tornado memusnahkan kawasan sepanjang laluan sejauh kira-kira 6.4 kilometer di Daerah Okmulgee, 48 kilometer di selatan Tulsa.
“Kami sedang bergerak secepat mungkin, membersihkan jalan secepat yang boleh,” katanya.
Dua kematian dilaporkan di Beggs, Oklahoma, menurut Pejabat Sheriff Daerah Okmulgee.
Gabenor Oklahoma, Kevin Stitt, turut mengisytiharkan darurat di daerah Alfalfa, Creek, Grant, Major, Okmulgee, Rogers, Tulsa dan Wagoner bagi memudahkan penyelarasan bantuan.