ISTANBUL: Sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh dan beberapa lagi cedera akibat serangan Israel di selatan Lubnan pada Selasa, ketika Israel terus meningkatkan serangan di seluruh negara itu, lapor Anadolu Ajansi dengan memetik pihak berkuasa kesihatan dan media tempatan.
Menurut Kementerian Kesihatan, empat orang terbunuh dan lapan lagi cedera dalam beberapa siri serangan di bandar Tyre dan kawasan sekitarnya.
Agensi Berita Nasional (NNA) milik kerajaan melaporkan, satu serangan awal pagi mengenai kawasan Mahmoudiya berhampiran bandar Aishiyeh, mengorbankan dua orang.
Dua lagi terbunuh dan seorang wanita cedera dalam serangan ke atas sebuah rumah di bandar Arabsalim, menurut NNA.
Tiga anggota keluarga turut terbunuh dan seorang lagi cedera selepas serangan sebelum subuh menyasarkan bandar Sahmar di wilayah Bekaa Barat, kata agensi itu.
Serangan berasingan menyasarkan bandar pesisir Adloun awal pagi Selasa, menyebabkan tiga orang maut, menurut laporan itu.
Satu lagi serangan di bandar Shebriha mengorbankan seorang dan mencederakan tiga yang lain, menurut NNA.
Dua lagi terbunuh apabila dron Israel menyerang sebuah kenderaan di jalan Msayleh-Nabatieh selepas tengah malam, menurut agensi itu.
Kecederaan turut dilaporkan dalam serangan yang menyasarkan bandar Mahmoudiyeh, Nabatieh al-Fawqa, Jabal al-Botm, Mansouri, Adloun dan Deir Antar.
Di daerah Tyre, serangan Israel turut mengenai kawasan antara bandar Ain Baal dan Aaitit, disertai tembakan suar cahaya di udara di atas bandar dan laut, menurut agensi itu.
Media Lubnan juga melaporkan serangan ke atas lebih 10 rumah di selatan negara itu, namun tanpa butiran lanjut mengenai jumlah kematian.
Tentera Israel memperluas operasi udara dan daratnya di seluruh Lubnan sejak serangan rentas sempadan oleh Hizbullah pada 2 Mac, walaupun terdapat perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa pada November 2024.
Menurut pihak berkuasa kesihatan Lubnan, sekurang-kurangnya 2,089 orang terbunuh dan 6,762 lagi cedera sejak serangan Israel itu.
Israel menduduki beberapa kawasan di selatan Lubnan, sebahagiannya selama beberapa dekad dan sebahagian lagi sejak konflik sebelumnya antara Oktober 2023 hingga November tahun berikutnya.
-- BERNAMA-ANADOLU