BRUSSELS: Sekatan dikenakan pihak berkuasa Israel terhadap kemasukan bekalan perubatan ke Gaza menyebabkan kekurangan kritikal, sekali gus menjejaskan perkhidmatan penjagaan kesihatan secara serius, menurut kenyataan yang dikeluarkan Doctors Without Borders (MSF) pada Jumaat, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Penasihat perubatan MSF, Dr Randa Abu El-Khair Masoud berkata, organisasi itu tidak dapat membawa masuk sebarang bekalan perubatan ke Gaza sejak 1 Jan, walaupun keperluan kemanusiaan di wilayah itu amat besar.
“Setiap hari, di hospital dan klinik kami, kami melihat kesan sekatan terhadap kemasukan bekalan perubatan ke Gaza, Palestin.
“Keperluan di Gaza amat besar, namun bantuan yang masuk tidak mencukupi kerana dihalang oleh pihak berkuasa Israel,” kata Masoud.
Beliau memberi amaran bahawa hampir 50 peratus ubat-ubatan penting bagi penyakit tidak berjangkit termasuk diabetes, tekanan darah tinggi, gangguan tiroid dan masalah pernafasan, berada pada paras yang amat rendah.
Akibat kekurangan itu, MSF menghentikan pengambilan pesakit baharu ke dalam program penyakit tidak berjangkitnya dan hanya mengehadkan rawatan kepada pesakit sedia ada.
Organisasi itu juga berdepan kekurangan bekalan perubatan asas seperti kain kasa dan balutan mampat, yang menjejaskan perkhidmatan rawatan luka khususnya bagi pesakit selepas pembedahan dan mangsa melecur.
Semasa sekatan terdahulu antara Ogos dan Sept 2025, pasukan MSF terpaksa menggunakan kain kasa tidak steril yang disterilkan secara berkelompok, satu langkah yang dianggap sebagai pilihan terakhir kerana risiko jangkitan.
“Kini, kami hampir kembali ke tahap itu,” katanya memberi amaran.
Kekurangan peralatan perubatan turut menambah tekanan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan.
Masoud berkata tiada peralatan baharu atau alat ganti dibawa masuk ke Gaza pada tahun ini, menyebabkan kerosakan kerap berlaku.
“Pasukan kami sedang bertungkus-lumus untuk terus memberikan rawatan, namun mereka berada di bawah tekanan yang amat besar,” katanya.
-- BERNAMA-ANADOLU