TEHRAN: Pusingan kedua rundingan nuklear tidak langsung antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) di Geneva telah berakhir, lapor Anadolu Ajansi yang memetik televisyen kerajaan Iran.
Kedua-dua delegasi meninggalkan lokasi rundingan, iaitu Kedutaan Oman di Geneva, selepas rundingan tidak langsung itu berlangsung selama kira-kira empat jam.
Menurut laporan, kedua-dua pihak saling bertukar nota mengenai isu nuklear melalui perantara Oman, dengan penyertaan pakar dalam bidang nuklear, perundangan dan ekonomi.
Pusingan rundingan ini, yang bermula sekitar 10 pagi waktu Geneva pada Selasa, memberi tumpuan utama kepada aspek teknikal perundingan tersebut.
Delegasi Iran diketuai oleh Menteri Luar Abbas Araghchi, manakala pihak Amerika diketuai oleh Utusan Khas Steve Witkoff dan penasihat Presiden Donald Trump, Jared Kushner.
Kedua-dua delegasi mengadakan pertemuan berasingan dengan Menteri Luar Oman Badr Albusaidi di Kedutaan Oman sebelum bertukar nota melalui perantara tersebut.
Pusingan pertama rundingan telah berlangsung di Muscat awal bulan ini, lebih lapan bulan selepas diplomasi ditangguhkan susulan perang Iran-Israel pada Jun lalu.
Sumber menyatakan bahawa semasa pusingan ini, kedua-dua pihak mengemukakan cadangan praktikal mengenai isu teknikal berkaitan program nuklear Iran, dengan Tehran bertegas menuntut penarikan sekatan.
Jurucakap Kementerian Luar Esmail Baghaei turut mengesahkan bahawa pelepasan sekatan ada dibincangkan semasa rundingan pada Selasa.
Walau bagaimanapun, beberapa laporan mencadangkan bahawa cadangan yang dikemukakan oleh Iran mungkin tidak dapat diterima oleh pihak Amerika.
Kedua-dua delegasi akan pulang ke ibu negara masing-masing dan akan bersidang semula pada tarikh yang akan ditentukan kemudian.
-- BERNAMA-ANADOLU