ISLAMABAD: Rundingan damai di antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang berlangsung di sini hari ini dijangka memfokuskan kepada enam tuntutan utama bagi menamatkan peperangan selama enam minggu yang melanda Asia Barat, lapor Al Jazeera.
Berikut adalah perkara utama yang menjadi agenda perbincangan di antara kedua-dua pihak:
Gencatan Senjata di Lubnan: Tehran mendesak agar gencatan senjata turut merangkumi Lubnan, namun AS dan Israel sebelum ini menyatakan wilayah tersebut tidak termasuk dalam skop perjanjian awal.
Penarikan Sekatan Ekonomi: Iran menuntut AS membebaskan aset yang dibekukan dan menamatkan sekatan ekonomi. Sebagai balasan, Washington mahukan konsesi dalam pembangunan nuklear dan peluru berpandu Iran.
Kawalan Selat Hormuz: Iran mahu pengiktirafan kuasa ke atas Selat Hormuz termasuk hak mengutip yuran transit, manakala AS mahu laluan kapal tangki minyak dibuka sepenuhnya tanpa sebarang bayaran atau sekatan.
Pampasan Perang: Tehran menuntut pampasan bagi segala kemusnahan yang dialami sepanjang enam minggu peperangan, namun setakat ini pihak AS belum memberikan sebarang ulasan mengenai ganti rugi tersebut.
Keupayaan Peluru Berpandu: AS dan Israel mahu keupayaan peluru berpandu Iran dikurangkan secara drastik, tetapi Tehran menegaskan bahawa aset ketenteraan mereka adalah perkara yang tidak boleh dirunding.
Kehadiran Tentera AS: Iran mahu pasukan tempur AS keluar dari rantau itu sepenuhnya. Sebaliknya, Presiden Donald Trump menegaskan aset ketenteraan akan kekal sehingga pelan damai dicapai, selain memberi amaran serangan lebih besar jika Iran gagal patuh.
Delegasi AS yang diketuai Naib Presiden JD Vance dan delegasi Iran pimpinan Mohammad Bagher Ghalibaf dilaporkan masih dalam peringkat rundingan awal bagi menetapkan parameter perbincangan rasmi.