CHICAGO: Satu ribut salji besar melanda wilayah Upper Midwest dan Great Lakes di Amerika Syarikat (AS) sejak hujung minggu lalu, membawa angin kencang serta salji tebal melebihi 60 sentimeter (cm) di beberapa kawasan di Wisconsin dan Michigan.
Di Michigan, keadaan menjadi semakin buruk apabila sekurang‑kurangnya 129,000 penduduk terputus bekalan elektrik pada Isnin susulan ais dan salji tebal yang merosakkan talian kuasa.
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS mengeluarkan amaran ribut untuk kawasan di selatan Minnesota, Iowa, barat laut Illinois, sebahagian besar Wisconsin, serta wilayah utara Michigan termasuk Upper Peninsula.
Cuaca buruk dan angin kencang menyebabkan jarak penglihatan merosot dengan ketara di banyak kawasan.
Di Wisconsin, bandar Wausau merekodkan lebih 59cm salji pada Ahad dan jumlahnya terus meningkat pada Isnin pagi.
Kawasan lain di Midwest turut berdepan keadaan hampir sama dengan salji tebal serta tiupan angin yang mencapai tahap berbahaya.
Ribut salji tersebut menyebabkan lebih 2,600 penerbangan dibatalkan di seluruh AS sejak hujung minggu, menurut data FlightAware.
Banyak lapangan terbang utama di Chicago, Minneapolis, Detroit dan Milwaukee berdepan kelewatan panjang berikutan keadaan cuaca yang tidak selamat untuk operasi.
Pihak meteorologi memberi amaran bahawa fenomena cuaca melampau ini dijangka berlanjutan sehingga awal minggu, dengan beberapa kawasan mungkin menerima tambahan salji dan angin kencang yang boleh menjejaskan perjalanan darat terutamanya di kawasan luar bandar Midwest.