HONOLULU: Ribuan penduduk Hawaii terpaksa dipindahkan selepas negeri itu dilanda banjir paling buruk dalam tempoh lebih 20 tahun, berpunca daripada siri ribut kuat yang melanda kepulauan tersebut sejak seminggu lalu.
Pihak berkuasa memberi amaran bahawa risiko banjir kilat masih tinggi di pulau Oahu serta beberapa bahagian di Daerah Maui.
Gabenor Josh Green berkata pada Sabtu bahawa tanah di banyak kawasan sudah tepu akibat hujan lebat sebelum ini, menjadikan keadaan semakin berbahaya dengan hanya sedikit tambahan hujan mampu mencetuskan banjir besar, penutupan jalan raya dan kerosakan infrastruktur.
Pulau Oahu dijangka menerima tambahan 10 hingga 15cm hujan, manakala sesetengah kawasan di Maui boleh menerima antara 10 hingga 30cm lagi.
Green turut memaklumkan tiada kematian dilaporkan setakat ini, dan hanya beberapa kecederaan serius direkodkan.
Program khas juga telah diaktifkan untuk membantu penduduk yang kehilangan tempat tinggal mendapatkan kadar hotel pada harga diskaun.
Paras air yang meningkat mendadak menyebabkan rumah dan kereta dihanyutkan, memaksa kira-kira 5,500 penduduk di utara Honolulu berpindah ke kawasan lebih selamat.
Lebih 230 mangsa telah diselamatkan setakat Jumaat, termasuk mereka yang terperangkap di rumah atau kenderaan.
Jalan raya di seluruh kepulauan terpaksa ditutup akibat aliran air deras dan runtuhan.
Pihak berkuasa kecemasan Honolulu turut mengeluarkan beberapa amaran banjir kilat dan meminta penduduk segera menuju ke kawasan tanah tinggi.
Amaran banjir juga dikeluarkan untuk Maui, Molokai dan Big Island.
Sebuah empangan berusia lebih 120 tahun di Oahu dikesan berada pada tahap kritikal dan berisiko runtuh.
Datuk Bandar Honolulu, Rick Blangiardi, menggesa penduduk untuk utamakan keselamatan.
Blangiardi berkata anggaran kerosakan akibat ribut itu mungkin melebihi AS$1 bilion, termasuk kerosakan kepada lapangan terbang, sekolah, jalan raya, hospital dan ribuan kediaman.
Beliau memuji usaha petugas kecemasan yang bekerja tanpa henti untuk menyelamatkan nyawa.
Ribut berkenaan berlaku akibat fenomena cuaca yang dikenali sebagai “Kona Low”, iaitu sistem tekanan rendah yang bergerak perlahan dan menarik udara lembap serta panas ke seluruh Hawaii, sekali gus menyebabkan hujan lebat dan banjir kilat.
Sesetengah kawasan menerima lebih 25cm hujan dan angin kencang sehingga 160 km/j.
Ribut ini merupakan cabaran terkini buat negeri tersebut, yang masih belum pulih sepenuhnya daripada tragedi kebakaran Lahaina 2023 yang meragut lebih 100 nyawa.
Gabenor Green berkata banjir kali ini akan memberi “kesan serius” kepada seluruh Hawaii.
Beliau juga menggesa penduduk supaya menggunakan pusat perlindungan dan tempat berkumpul yang telah disediakan di seluruh negeri.