Skip to main content

Dunia

Puluhan veteran tentera AS bantah perang Iran ditahan di Capitol Hill

A protester hands are zip-tied during a protest against the Iran war by veterans from the group About Face and members of military families in the Cannon House Office Building Rotunda on Capitol Hill in Washington, D.C., U.S., April 20, 2026. REUTERS/Kevin Lamarque TPX IMAGES OF THE DAY
Tangan seorang penunjuk perasaan diikat dengan pengikat zip semasa bantahan terhadap perang dengan Iran di Bangunan Pejabat Dewan Cannon, Capitol Hill, Washington, AS. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Sekumpulan veteran tentera Amerika Syarikat (AS), termasuk beberapa yang kelihatan kurang upaya ditahan pada Isnin ketika mengadakan bantahan terhadap perang AS-Israel ke atas Iran, lapor Anadolu Ajansi.

Kira-kira 60 veteran dan anggota keluarga mereka berpakaian seragam tentera ketika berhimpun di ruang legar Bangunan Pejabat Cannon House sambil membentangkan sepanduk bertulis "End the War on Iran" dan "We Can't Afford Another War", selain berdiri tegak dengan penuh tenang.

Para veteran turut mengadakan upacara melipat bendera sebagai simbol mengenang anggota perkhidmatan Amerika yang terkorban dalam perang berkenaan serta mereka yang mungkin terkorban sekiranya konflik itu tercetus semula.

Beberapa peserta juga dilihat memegang bunga tulip merah sebagai penghormatan kepada rakyat Iran yang terbunuh dalam perang yang dimulakan Presiden AS Donald Trump dan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada 28 Feb.

“Perang ini sememangnya sudah amat tidak popular, dan kini menjadi krisis kepada pentadbiran Trump,” kata Pengarah Eksekutif Center on Conscience and War (CCW) Mike Prysner dalam satu kenyataan sebelum beliau ditahan.

“Lebih 100 anggota perkhidmatan telah mula memfailkan permohonan sebagai CO. 

"Namun, jika lebih ramai bangkit dan ada yang tampil bersuara, kita mempunyai peluang sebenar untuk memperhebat krisis ini bagi Trump sehingga memaksa mereka berundur daripada perang ini,” katanya.

Prysner menggunakan singkatan itu bagi merujuk kepada "conscientious objectors", iaitu anggota perkhidmatan yang enggan terlibat dalam perang yang mereka anggap tidak bermoral.

Puluhan penunjuk perasaan ditahan Polis Capitol AS atas tindakan bantahan sivil mereka, menurut pusat berkenaan.

Bantahan itu dianjurkan oleh gabungan beberapa pertubuhan termasuk About Face, Veterans For Peace, Common Defence, CCW, Fayetteville Resistance Coalition, Military Families Speak Out dan 50501 Veterans.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

TAG: veteran tentera, kurang upaya, ditahan, membantah, perang

Must Watch Video