Skip to main content

Dunia

Prabowo anjur perbincangan dengan bekas Presiden, pemimpin negara

Instagram @prabowo
Inisiatif Prabowo untuk melibatkan negarawan kanan dalam bertukar-tukar pandangan mengenai cabaran antarabangsa semasa serta potensi implikasinya ke atas Indonesia. - Instagram @prabowo

JAKARTA: Presiden Indonesia Prabowo Subianto mengadakan dialog strategik dengan bekas presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan Joko Widodo di Istana Merdeka untuk membincangkan perkembangan geopolitik global, khususnya konflik yang semakin memuncak di Asia Barat.

Mesyuarat itu, yang diadakan petang Selasa, turut menghimpunkan beberapa bekas naib presiden dan pemimpin negara, mencerminkan inisiatif Prabowo untuk melibatkan negarawan kanan dalam bertukar-tukar pandangan mengenai cabaran antarabangsa semasa serta potensi implikasinya ke atas Indonesia.

Biro Media, Akhbar dan Penerangan Sekretariat Presiden (BPMI Setpres) dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu berkata perjumpaan itu menjadi platform untuk dialog dan muhasabah mengenai perkembangan situasi global dalam ketegangan geopolitik yang kian meningkat.

Bekas Menteri Luar Hassan Wirajuda berkata presiden menyampaikan taklimat mengenai perkembangan antarabangsa terkini, termasuk konflik yang melibatkan Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran.

“Presiden memberikan maklumat terkini, memaklumkan tentang pelbagai perkembangan yang berlaku di dunia, terutamanya yang telah lama menjadi kebimbangan ramai antara kita dan perkembangan terkini mengenai perang atau serangan oleh AS dan Israel terhadap Iran. Implikasi kepada kita dan dunia telah dibincangkan," katanya dipetik dalam kenyataan itu.

Turut hadir bekas naib presiden Ma’ruf Amin, Jusuf Kalla dan Boediono, bersama-sama beberapa bekas menteri luar, pemimpin parti politik gabungan serta wakil perniagaan dan industri.

Hassan berkata perbincangan itu turut menyentuh implikasi yang lebih luas terhadap keamanan dan keselamatan global serta kemungkinan kesan ekonomi, terutamanya berkaitan minyak dan gas.

“Kami mempertimbangkan semua kemungkinan kesan ke atas kita dari aspek itu, tetapi juga dari (aspek) pengiraan berapa lama perang ini akan berlangsung," katanya.

Beliau berkata presiden menganggap penting untuk bertukar pandangan dengan pemimpin negara mengenai cabaran yang dihadapi kerajaan.

“Presiden sangat terbuka dalam menjawab cadangan dan pendapat peserta,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video