NEW YORK: Polis menahan kira-kira 90 orang yang menyertai protes di New York bagi membantah pembekalan senjata kepada Israel, tanpa mendedahkan pertuduhan yang dikenakan, menurut laporan media yang memetik pihak berkuasa.
Menurut laporan itu, demonstrasi berkenaan berlangsung pada Isnin di lobi bangunan pencakar langit yang menempatkan pejabat Ketua Minoriti Senat Chuck Schumer dan Senator Kirsten Gillibrand.
Kira-kira 200 orang dilaporkan menyertai demonstrasi itu
Mereka cuba memasuki lobi bangunan secara paksa namun dihalang pengawal keselamatan, sebelum berhimpun di pintu masuk bangunan.
Menurut laporan, sebahagian daripada mereka bertindak menghalang jalan berhampiran, sekali gus mendorong campur tangan polis.
Pada 28 Feb, Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan ke atas sasaran di Iran, termasuk di Tehran, yang mengakibatkan kerosakan infrastruktur dan korban awam.
Iran kemudian melancarkan serangan balas ke atas wilayah Israel dan kemudahan tentera AS di Asia Barat.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI