ISLAMABAD: Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif pada Khamis mengucapkan terima kasih kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres atas sokongan terhadap usaha Islamabad dalam mempromosikan keamanan susulan pengumuman gencatan senjata antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, lapor Xinhua.
“Terima kasih Setiausaha Agung Antonio Guterres atas sokongan anda terhadap usaha ikhlas Pakistan untuk keamanan,” kata perdana menteri itu dalam satu hantaran di platform X.
Terdahulu, Guterres mengalu-alukan pengumuman gencatan senjata selama dua minggu antara AS dan Iran serta menyatakan penghargaan kepada Pakistan dan negara lain yang terlibat dalam memudahkan perjanjian itu.
Pakistan dijadual menjadi tuan rumah rundingan “Islamabad Talks” antara kedua-dua negara yang bertujuan meredakan ketegangan di Asia Barat.
Menurut Agensi Berita Pelajar Iran (ISNA) Yang Dipertua Parlimen Iran Mohammad Baqer Qalibaf akan mengetuai pasukan rundingan untuk berbincang dengan Naib Presiden AS JD Vance, di Islamabad.
-- BERNAMA-XINHUA