ISTANBUL: Pihak berkuasa Switzerland pada Jumaat memberi amaran risiko demam babi Afrika (ASF) merebak ke negara itu kekal tinggi, terutama disebabkan wabak yang menjejaskan populasi babi hutan di beberapa kawasan Eropah, menurut Swissinfo, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Pejabat Persekutuan Keselamatan Makanan dan Veterinar (FSVO) berkata, penularan penyakit itu kepada babi ternakan “boleh berlaku pada bila-bila masa” di kawasan yang mempunyai babi hutan dijangkiti.
Agensi itu menggesa pengembara supaya tidak membawa masuk daging babi atau daging babi hutan dari wilayah terjejas ke Switzerland, selain menasihatkan pemburu membersihkan dan membasmi kuman pada pakaian, kasut, peralatan serta kenderaan dengan teliti sebelum merentasi sempadan.
Menurut FSVO, virus itu mempunyai daya tahan tinggi dan boleh kekal berjangkit untuk tempoh lama dalam darah, produk daging dan bangkai haiwan.
Pihak berkuasa turut meminta penternak babi segera menghubungi doktor veterinar sekiranya haiwan ternakan menunjukkan gejala yang tidak jelas.
Sebagai sebahagian daripada program pengesanan awal kebangsaan, Switzerland menjalankan ujian terhadap babi hutan yang mati dan haiwan sakit.
FSVO berkata, kesemua 25 babi hutan yang diperiksa setakat ini disahkan negatif.
Amaran itu dikeluarkan selepas wabak baharu dikesan di Itali pada April, ekoran tempoh penurunan jangkitan dalam kalangan babi ternakan di seluruh Eropah.
Pihak berkuasa Switzerland turut menyifatkan pengesanan semula ASF di Saxony sebagai satu “kemunduran” dalam usaha membendung penyakit itu.
-- BERNAMA-ANADOLU