Skip to main content

Dunia

Pihak berkuasa Israel terus tutup Majid Al-Aqsa untuk hari ke-36

A view of the Silwan neighbourhood of East Jerusalem and the Al-Aqsa Mosque compound above it, January 20, 2026. REUTERS/Ammar Awad
Buat kali kesembilan sejak 1967, pihak berkuasa Israel turut menghalang solat Jumaat di lokasi itu. - Gambar fail/Reuters

BAITULMUQADDIS: Pihak berkuasa penduudkan Israel meneruskan penutupan kompleks Masjid Al-Aqsa kepada jemaah Islam untuk hari ke-36 berturut-turut dengan alasan keselamatan, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).

Penutupan itu digunakan untuk mengetatkan kawalan ke atas kompleks itu, ketika seruan semakin meningkat dalam kalangan rakyat Palestin di Baitulmuqaddis untuk berkumpul di pusat pemeriksaan terdekat dalam usaha memecahkan sekatan yang dikenakan dan mendesak pembukaan semula, menurut sumber tempatan.

Buat kali kesembilan sejak 1967, pihak berkuasa Israel turut menghalang solat Jumaat di lokasi itu.

Halaman masjid, dewan solat dan kawasan arked sekitarnya kekal hampir kosong, dengan hanya sebilangan kecil kakitangan Wakaf Islam dibenarkan masuk. Jumaat minggu ini menandakan minggu kelima berturut-turut penutupan sedemikian.

Di jalan Baitulmuqaddis, rakyat Palestin dari bandar itu serta wilayah Palestin yang diduduki sejak 1948 membentangkan sejadah di atas jalan raya, lorong dan kawasan sempit, menunaikan solat di lokasi terdekat yang dapat mereka capai meskipun berdepan sekatan dan gangguan.

Pasukan Israel dikerahkan di seluruh jalan di Baitulmuqaddis, khususnya di kawasan berhampiran tembok dan pintu masuk Kota Lama.

Mereka menghalang solat daripada diadakan berhadapan tembok serta mengejar jemaah, termasuk menolak dan mengasari mereka.

Sementara itu, ratusan jemaah berjaya menunaikan solat di Jalan Salah al-Din, manakala yang lain melakukannya di dalam stesen bas Jalan Nablus.

Dalam satu kejadian, unit polis khas dilaporkan menyerbu satu perhimpunan solat di Jalan Nablus dan menahan imam selepas solat selesai.

Pihak berkuasa rasmi dan agama memberi amaran tentang bahaya penutupan berterusan Masjid Al-Aqsa, menyifatkannya sebagai pelanggaran jelas terhadap kebebasan beribadat serta peningkatan serius yang memerlukan campur tangan segera masyarakat antarabangsa bagi menghentikan tindakan itu.

-- BERNAMA-WAFA

 

Must Watch Video