WASHINGTON: White House pada Jumaat mendedahkan lakaran reka bentuk sebuah gerbang monumental setinggi 250 kaki (76 meter) yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk dibina di ibu negara.
Monumen baharu itu, yang digelar Presiden sebagai “Arc de Trump”, disifatkan Trump sebagai “gerbang kemenangan TERHEBAT dan PALING INDAH di dunia”.
Pentadbiran Trump memaklumkan bahawa pelan rasmi pembinaan telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Seni Halus, sebuah panel yang dianggotai sekutu Trump, dan akan dinilai minggu hadapan.
Jika diluluskan, gerbang tersebut akan mengatasi ketinggian Bangunan Capitol AS dan Tugu Washington, sekali gus menjadikannya antara struktur paling menonjol di Washington DC.
“Ia akan menjadi tambahan yang indah kepada kawasan Washington DC untuk dinikmati semua rakyat AS selama beberapa dekad akan datang,” kata Trump menerusi platform Truth Social.
Lakaran yang didedahkan menunjukkan inskripsi emas bertulis “One Nation Under God”, dihiasi dua ekor helang emas di bahagian atas serta patung Liberty bersayap berwarna emas. Di bahagian dasar pula terdapat arca singa emas.
Menurut jurucakap White House, Davis Ingle, gerbang itu bertujuan mempertingkat pengalaman pelawat ke Tanah Perkuburan Kebangsaan Arlington, khususnya veteran, keluarga wira yang terkorban serta orang awam.
Katanya, monumen itu akan menjadi peringatan visual terhadap pengorbanan besar yang telah dilakukan sepanjang 250 tahun sejarah AS demi kebebasan hari ini.
Setakat ini, White House belum memperincikan kaedah pembiayaan projek tersebut.
Bagaimanapun, Trump sebelum ini menyatakan bahawa lebihan dana daripada projek dewan tarian White House, yang menurutnya dibiayai sepenuhnya secara peribadi, mungkin digunakan untuk membiayai pembinaan gerbang berkenaan.
Cadangan gerbang ini merupakan antara beberapa projek kontroversi Trump untuk “mengubah wajah” Washington DC mengikut gayanya.
Rancangan pembinaan dewan tarian White House, antaranya, masih terperangkap dalam pertikaian undang-undang.
Pada pengumuman awal projek tahun lalu, Trump berkata gerbang itu diinspirasikan daripada Arc de Triomphe di Paris dan bertujuan menyambut orang ramai yang memasuki Washington DC dari arah Tanah Perkuburan Kebangsaan Arlington melalui Memorial Bridge.
Cadangan ini dijangka mencetuskan perdebatan lanjut, khususnya mengenai kesesuaian estetika, simbolisme serta pembiayaan monumen berskala besar di pusat kuasa politik AS.