Skip to main content

Dunia

Pengeluaran minyak Asia Barat boleh merosot 70 peratus jika konflik AS, Israel-Iran berlarutan - Rystad Energy

minyak, oil_AP
Pengurangan lanjut oleh pengeluar minyak utama Asia Barat tidak boleh diketepikan kerana tangki simpanan mula penuh, insfrastrukur pintasan telah mencapai had, dan konflik masih belum menunjukkan tanda reda dalam jangka masa pendek. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Konflik berpanjangan antara Amerika Syarikat (AS)-Israel dengan Iran boleh mengurangkan pengeluaran minyak mentah di Asia Barat sehingga 70 peratus jika berlaku senario terburuk, menurut firma penyelidikan tenaga Rystad Energy.

Dalam kenyataan, firma itu menjelaskan gangguan bekalan berkaitan konflik boleh mengurangkan pengeluaran rantau itu kepada kira-kira enam juta tong sehari (bpd) daripada lebih kurang 21 juta bpd sebelum krisis.

“Hanya dalam tempoh seminggu sejak serangan AS-Israel terhadap Iran menyebabkan penutupan Selat Hormuz, pengeluaran minyak dan gas Asia Barat sebanyak lebih 12 juta tong setara minyak sehari (boepd) telah dihentikan, termasuk tujuh juta tong sehari bekalan minyak mentah, bersamaan kira-kira tujuh peratus daripada permintaan cecair global,” tambahnya.

Rystad Energy memaklumkan Iraq ialah negara yang paling terjejas, dengan lebih 60 peratus dikurangkan daripada pengeluaran minyak sebelum konflik.

“Namun, realiti yang lebih membimbangkan adalah kemungkinan keadaan terburuk masih belum berlaku.

“Analisis Rystad Energy menunjukkan dalam senario terburuk, pengeluaran minyak mentah di Asia Barat boleh susut kepada kira-kira enam juta bpd, pengurangan serantau sebanyak 70 peratus daripada paras sebelum konflik,” tambahnya.

Pengarah Penyelidikan Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA), Aditya Saraswat berkata pengurangan lanjut oleh pengeluar minyak utama Asia Barat tidak boleh diketepikan kerana tangki simpanan mula penuh, insfrastrukur pintasan telah mencapai had, dan konflik masih belum menunjukkan tanda reda dalam jangka masa pendek.

“Walaupun bekalan minyak kemungkinan susut kepada enam juta bpd bukan senario utama namun keadaan itu masih sangat berkemungkinan.

“Jika dan apabila krisis berakhir, pengeluaran akan mengambil masa berbulan-bulan untuk memulihkan operasi kepada paras sebelum konflik, dengan isu integriti infrastruktur dan susunan geopolitik baharu masih menjadi faktor,” katanya.

Menurut firma itu, medan minyak Kuwait dan Iraq menyumbang kira-kira 1.5 juta bpd kepada pengeluaran yang masih beroperasi terutama untuk memenuhi permintaan keperluan loji penapisan domestik.

“Loji penapisan Kuwait mempunyai kapasiti gabungan 1.42 juta bpd, tetapi permintaan domestik hanya menggunakan kira-kira 360,000 bpd. Dengan tiada laluan eksport, simpanan produk minyak cepat penuh walaupun pada kadar operasi yang dikurangkan,” jelasnya.

Rystad Energy menambah apabila tangki simpanan penuh, loji penapisan di Kuwait dan Iraq terpaksa memperlahankan operasi, memperoleh minyak mentah yang lebih sedikit dan memaksa pengeluar mengurangkan lagi pengeluaran.

Syarikat itu juga menjelaskan kira-kira 6.5 juta bpd bekalan bergantung kepada laluan pintasan melalui saluran paip ADCOP Emiriah Arab Bersatu ke Fujairah serta saluran paip Timur-Barat Arab Saudi ke Yanbu, yang masih beroperasi tetapi menghadapi risiko selepas serangan kerana infrastruktur dan kekangan di Fujairah susulan kapasiti muatan yang terhad dan ketersediaan tangki.

Di Arab Saudi, implikasi gred sama pentingnya dengan kehilangan jumlah, dengan Arab Heavy dan Arab Medium menyumbang sebahagian besar 2.2 juta bpd yang dihentikan dan menjadi gred utama bagi loji penapisan kompleks di Asia yang direka untuk memproses minyak mentah sederhana hingga berat (mempunyai sulfur yang tinggi).

“Arab Saudi masih menawarkan Arab Light dan Arab Extra Light melalui tender semerta Yanbu, tetapi Arab Medium pada dasarnya telah hilang dari pasaran,” tambahnya.

Rystad Energy memaklumkan loji penapisan Asia yang tidak dapat beralih kepada minyak mentah lebih ringan tanpa penalti operasi kini bersaing untuk alternatif yang berat dari Amerika dan Afrika Barat, meningkatkan kos penghantaran, masa penghantaran, dan ketidakpastian bekalan dalam pasaran yang sudah tertekan.

“Selain itu, jika tong minyak Iran dikeluarkan daripada pasaran akibat serangan berterusan ke atas infrastruktur minyak dan gasnya, pengganti idealnya, Arab Heavy dan Arab Medium, juga tidak lagi akan tersedia,” tambahnya.

Saraswat berkata Rusia boleh muncul sebagai penerima manfaat berpotensi, kerana aktiviti penggerudian yang meningkat mungkin menambah bekalan Urals sebanyak 200,000 hingga 300,000 bpd, walaupun jumlah ini hanya menampung sebahagian kecil daripada kehilangan minyak mentah Iran.

“Setakat analisis kami, tiada pengganti wajar untuk Arab Heavy dan Arab Medium dalam jangka masa pendek, mencetuskan krisis bekalan dalam sejarah jika konflik tidak diselesaikan dalam beberapa minggu akan datang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video