Skip to main content

Dunia

Penduduk lega akses internet global kembali dipulihkan

FILE PHOTO: A woman walks past a billboard featuring an image of the late Supreme Leader of Iran, Ayatollah Ali Khamenei, on a building, amid a ceasefire between U.S. and Iran, in Tehran, Iran, April 27, 2026. Majid Asgaripour/WANA (West Asia News Agency) via REUTERS ATTENTION EDITORS - THIS PICTURE WAS PROVIDED BY A THIRD PARTY/File Photo
Perkembangan terkini itu akan memudahkan kehidupan penduduk kerana mereka kini sekurang-kurangnya boleh menggunakan enjin carian asing dan e-mel tanpa gangguan. - Reuters

TEHRAN: Penduduk Tehran menyambut baik pemulihan akses kepada Internet global selepas 87 hari sekatan penuh, walaupun ada segelintir yang tidak berkongsi keterujaan berhubung pemulihan rangkaian berkenaan, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Pihak berkuasa Iran mengehadkan akses ke laman web dan aplikasi pemesejan asing atas alasan keselamatan negara susulan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel serta beberapa cubaan sabotaj terhadap kepimpinan negara itu.

Akses kepada Internet global dipulihkan sebahagiannya di Tehran pada Selasa.

“Internet disekat selama hampir tiga bulan... Sudah tentu semua orang gembira kerana pihak berkuasa memulihkan akses kepada Internet global,” kata seorang penduduk tempatan, Mohsen Haghbin.

Beliau berkata keadaan itu akan memudahkan kehidupan penduduk kerana mereka kini sekurang-kurangnya boleh menggunakan enjin carian asing dan e-mel tanpa gangguan.

Bagaimanapun, ada pihak yang melihat perkembangan itu dengan kebimbangan kerana percaya aktiviti syarikat besar Barat boleh memudaratkan negara.

“Ia bergantung kepada apa yang kita mahu lakukan dengan Internet... Jika ia memudaratkan negara, maka tidak, kerana syarikat menggunakan metadata dan kecerdasan buatan untuk mengumpul data serta menggunakannya terhadap Iran,” kata seorang pelajar Iran, Sepahvand.

Sistem “senarai putih” telah diaktifkan di Iran ketika konflik dengan AS dan Israel.

Kos untuk memintas sekatan melalui pelayan VPN khas mencecah US$100 bagi 20 gigabait data.

Pihak berkuasa Iran memutuskan untuk memulihkan akses Internet pada Isnin, namun tidak menyatakan garis masa bagi melengkapkan proses itu.

Agensi berita ISNA melaporkan pada Selasa bahawa akses kepada rangkaian global, yang terputus selama hampir tiga bulan susulan konflik dengan AS dan Israel, akan dipulihkan dalam tempoh 24 jam.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

 

Must Watch Video

Advertisement