Skip to main content

Dunia

Pendakwa Manhattan siasat dakwaan salah laku seks terhadap ahli Kongres AS, Eric Swalwell

U.S. Representative Eric Swalwell (D-CA) attends a House Judiciary Committee hearing with FBI Director Kash Patel (not pictured), on Capitol Hill in Washington, D.C., U.S., September 17, 2025. REUTERS/Annabelle Gordon
Siasatan itu dimulakan sehari selepas Swalwell menyifatkan dakwaan terhadapnya sebagai tidak benar. - Foto REUTERS

NEW YORK: Pejabat Pendakwa Daerah Manhattan mengesahkan telah memulakan siasatan terhadap dakwaan salah laku seksual yang melibatkan ahli Kongres Amerika Syarikat (AS), Eric Swalwell, susulan pelbagai tuduhan yang dibuat oleh beberapa wanita.

Menurut pejabat pendakwa raya New York City, empat wanita mendakwa Swalwell melakukan salah laku termasuk gangguan seksual dan rogol, dengan salah satu kejadian didakwa berlaku di New York.

Swalwell, yang juga antara calon utama dalam persaingan merebut jawatan gabenor California, menafikan semua tuduhan itu dan berikrar akan mempertahankan dirinya berdasarkan fakta.

“Kami menggesa mangsa serta sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat berkaitan dakwaan ini supaya menghubungi Bahagian Mangsa Khas kami,” menurut kenyataan pejabat pendakwa raya Manhattan.

Pejabat berkenaan turut menegaskan bahawa pendakwa, penyiasat dan kaunselor mereka terlatih untuk mengendalikan kes secara sensitif terhadap trauma dan berfokus kepada keperluan mangsa.

Siasatan itu dimulakan sehari selepas Swalwell menyifatkan dakwaan terhadapnya sebagai tidak benar.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata bahawa sepanjang hampir dua dekad berkhidmat sebagai pendakwa dan ahli Kongres, beliau sentiasa melindungi hak wanita.

“Saya akan mempertahankan diri dengan fakta dan, jika perlu, mengambil tindakan undang‑undang,” kata Swalwell, yang juga bapa kepada tiga anak dan telah berkahwin.

Dakwaan pertama terhadap Swalwell didedahkan kepada umum pada Jumaat menerusi laporan akhbar San Francisco Chronicle.

Seorang bekas kakitangan mendakwa bahawa sejurus selepas diambil bekerja di pejabat daerah Swalwell di Castro Valley, beliau menerima komen tidak wajar serta mesej berunsur seksual, termasuk permintaan untuk melakukan hubungan seks.

Wanita itu turut mendakwa telah diserang secara seksual sebanyak dua kali.

Menurutnya, kejadian pertama berlaku pada September 2019 selepas mereka keluar minum bersama, manakala kejadian kedua didakwa berlaku pada 2024 selepas menghadiri majlis gala kebajikan di New York.

Dalam kedua-dua kejadian, beliau mendakwa berada dalam keadaan terlalu mabuk untuk memberikan persetujuan.

BBC melaporkan ia tidak dapat mengesahkan dakwaan dan identiti wanita itu secara bebas, namun telah menghubungi peguamnya untuk mendapatkan komen.

Sementara itu, CNN melaporkan menerima tuduhan salah laku seksual daripada empat wanita berbeza terhadap Swalwell.

Pasukan guamannya dilaporkan telah menghantar surat tuntutan berhenti (cease-and-desist) kepada dua daripada pihak yang membuat dakwaan tersebut.

Dalam satu mesej video di Facebook, Swalwell sekali lagi menafikan dakwaan berkenaan sambil mengakui dirinya bukan seorang yang sempurna.

Beliau berkata kesilapan masa lalu adalah perkara peribadi antara dirinya dan isterinya, dan beliau memohon maaf kerana meletakkan keluarganya dalam situasi tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Swalwell dilaporkan kehilangan sokongan beberapa tokoh politik terkenal termasuk Senator Adam Schiff dan Ketua Parti Demokrat Dewan Perwakilan, Hakeem Jeffries, hanya beberapa jam selepas dakwaan itu didedahkan.

Kes ini muncul ketika perlumbaan pemilihan gabenor California berada pada fasa kritikal, hanya beberapa minggu sebelum pengundi menerima kertas undi melalui pos menjelang pilihan raya 2 Jun.

Sebelum ini, Swalwell dianggap antara calon utama dalam persaingan sengit bagi menggantikan Gabenor Gavin Newsom yang bakal berundur.

 

Must Watch Video