SYDNEY: Saintis memberi amaran bahawa penangkapan ikan secara berlebihan dan perubahan alam sekitar semakin menjejaskan asas biologi banyak perikanan, dengan analisis baharu menunjukkan penurunan pertumbuhan ikan di seluruh dunia sepanjang abad lepas, lapor Xinhua.
Penyelidik dari James Cook University (JCU), Australia menganalisis hampir 7,700 rekod pertumbuhan yang meliputi 1,479 spesies marin dari 1908 hingga 2021.
Menurut kenyataan universiti itu baru-baru ini, kajian berkenaan mendapati penurunan prestasi pertumbuhan berlaku sejak sekitar 1908, dengan kemerosotan paling ketara tertumpu kepada spesies bernilai komersial.
Helen Yan, yang mengetuai kajian itu sebagai sebahagian daripada program PhD beliau di JCU, berkata tekanan yang didorong oleh aktiviti manusia menyebabkan perubahan berskala besar terhadap ekologi dan sejarah hidup ikan.
Penyelidik mengukur prestasi pertumbuhan, iaitu ciri sejarah hidup yang menggambarkan imbangan antara kadar pertumbuhan dan saiz badan, sepanjang tempoh 113 tahun.
“Perikanan terurus mengalami penurunan purata sembilan peratus dalam prestasi pertumbuhan sepanjang abad lepas.
"Ini menunjukkan ikan kini bersaiz lebih kecil dan/atau pada kadar lebih perlahan,” kata Yan.
Beliau berkata amalan penangkapan ikan komersial berdasarkan saiz, bukannya suhu, menjadi pemacu utama corak penurunan pertumbuhan global itu, walaupun perubahan iklim boleh memburukkan kesannya.
Yan berkata penangkapan ikan secara intensif meninggalkan kesan biologi yang jelas terhadap populasi ikan, sambil menyatakan trend itu paling ketara di kawasan beriklim sederhana yang mencatatkan tekanan penangkapan ikan paling tinggi.
Saintis memberi amaran bahawa ikan yang lebih kecil dan membesar lebih perlahan boleh mengubah siratan makanan, mengurangkan hasil perikanan dan merumitkan usaha pemulihan.
Mereka menegaskan keperluan untuk had tangkapan yang lebih ketat, perlindungan saiz dan habitat, serta pemantauan jangka panjang bagi mengesan perubahan sejarah hidup ikan.
-- BERNAMA-XINHUA