PEMIMPIN Agung Iran, Mojtaba Khamenei, dilaporkan dalam fasa pemulihan daripada kecederaan parah dan mencacatkan pada wajah serta kaki akibat serangan udara Amerika Syarikat (AS) dan Israel pada awal peperangan.
Maklumat itu disahkan oleh sumber yang merupakan tiga individu yang rapat dengan kelompok dalamannya, lapor Reuters.
Menurut sumber terbabit, serangan ke atas kompleks Pemimpin Tertinggi di tengah Tehran itu bukan sahaja mengorbankan bapanya dan pendahulunya, Ayatollah Ali Khamenei, malah menyebabkan Mojtaba mengalami kecederaan pada muka sehingga mencacatkan rupa dan kecederaan teruk pada satu, atau kedua-dua kakinya.
Bagaimanapun, Mojtaba yang kini berusia 56 tahun dilaporkan semakin pulih dan kekal cerdas dari segi mental.
Dua daripada sumber berkenaan berkata beliau masih mengambil bahagian dalam mesyuarat bersama pegawai kanan kerajaan melalui persidangan audio serta terlibat dalam proses membuat keputusan berkaitan isu utama termasuk peperangan dan rundingan dengan Washington.
Persoalan mengenai keupayaan kesihatan beliau untuk mentadbir negara timbul ketika Iran berdepan detik paling berbahaya dalam beberapa dekad, dengan rundingan damai berisiko tinggi bersama Amerika Syarikat dijadualkan bermula di Islamabad, Pakistan, pada 11 April.
Pendedahan individu yang rapat dengan kelompok dalaman Mojtaba itu memberikan gambaran paling terperinci tentang keadaannya sejak beberapa minggu kebelakangan ini, namun Reuters melaporkan mereka tidak dapat mengesahkan keadaan tersebut secara bebas.
Keberadaan, keadaan fizikal serta keupayaan Mojtaba untuk memerintah kekal tidak diketahui umum, susulan ketiadaan sebarang gambar, rakaman video atau audio beliau sejak serangan udara berkenaan dan selepas pelantikannya sebagai Pemimpin Agung pada 8 Mac lalu.
Misi Tetap Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tidak memberikan maklum balas kepada pertanyaan Reuters mengenai tahap kecederaan Mojtaba atau sebab ketiadaan sebarang penampilan awam setakat ini.
Tiada juga kenyataan rasmi dikeluarkan pihak berkuasa Iran berkaitan tahap kecederaannya.
Mojtaba dilaporkan cedera pada 28 Feb, hari pertama perang yang dilancarkan Amerika Syarikat dan Israel, dalam serangan yang turut mengorbankan isterinya, abang iparnya dan kakak iparnya.
Seorang pembaca berita televisyen kerajaan sebelum ini menyifatkan beliau sebagai “janbaz”, istilah yang digunakan bagi individu yang cedera parah dalam peperangan.
Kenyataan itu selari dengan komen Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, pada 13 Mac lalu yang menyatakan bahawa Mojtaba “cedera dan berkemungkinan mengalami kecacatan”.
Seorang sumber yang mengetahui risikan AS turut memberitahu Reuters bahawa beliau dipercayai kehilangan sebelah kaki, namun CIA enggan mengulas lanjut.