Skip to main content

Dunia

PBSM Iran hargai jasa lapan negara hulur bantuan ketika berdepan serangan AS-Israel

PBSM IRAN, KOLIVAND, kredit MEHR News
Menurut Pirhossein, keseluruhan bantuan yang dihantar melebihi 436 tan ubat-ubatan, bersama pelbagai peralatan perubatan, ambulans, katil, tandu, dan barangan kebersihan. - Gambar agensi MEHR News.

TEHRAN: Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Iran menyatakan penghargaan kepada lapan negara yang menghantar bantuan kemanusiaan ketika negaranya berdepan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

Ketua PBSM, Pirhossein Kolivand berkata negara-negara yang terlibat ialah China, Iraq, Rusia, Uzbekistan, India, Tajikistan, Azerbaijan, dan Turkmenistan.

“Sejak meletusnya perang, beberapa negara telah menghantar bantuan kemanusiaan kepada masyarakat menerusi PBSM Iran,” katanya melalui kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita MEHR hari ini.

Menurut Pirhossein, keseluruhan bantuan yang dihantar melebihi 436 tan ubat-ubatan, bersama pelbagai peralatan perubatan, ambulans, katil, tandu, dan barangan kebersihan.

“Bantuan ini juga merangkumi makanan, pakaian kanak-kanak, selimut, serta barangan keperluan harian seperti tepung, minyak masak, gula, makanan dalam tin, dan pasta,” ujarnya lagi.

Selain itu, penghantaran bantuan turut melibatkan perkakas rumah, tilam, khemah, bahan binaan, dan barangan penting lain bagi membantu mangsa perang dan memulihkan fasiliti kesihatan yang terjejas.

Tambahnya, bantuan itu dihantar melalui 147 trak, termasuk Iraq (27), Tajikistan (110), Uzbekistan (enam), dan Turkmenistan (empat).

Dalam perkembangan berasingan, sejak perang melanda pada 28 Februari, terdapat 18 fasiliti milik PBSM Iran musnah dibedil oleh AS dan Israel.
 

Must Watch Video