Skip to main content

Dunia

Parlimen Israel lulus undang-undang tubuh mahkamah tentera bagi anggota 'pasukan elit' Hamas

Israeli Prime Minister Benjamin Netanyahu speaks during a meeting at the Knesset, Israel's parliament, in Jerusalem, May 23, 2023. REUTERS/Ronen Zvulun
Parlimen Israel pada Isnin meluluskan undang-undang bagi menubuhkan mahkamah tentera khas untuk individu yang disifatkan Israel sebagai anggota “pasukan elit” Hamas. - Gambar fail Reuters

BAITULMUQADDIS: Parlimen Israel pada Isnin meluluskan undang-undang bagi menubuhkan mahkamah tentera khas untuk individu yang disifatkan Israel sebagai anggota “pasukan elit” Hamas, lapor Anadolu Ajansi.

Rang undang-undang itu kali pertama diluluskan dalam bacaan awal pada pertengahan Januari selepas dikemukakan anggota Knesset Simcha Rothman daripada parti Religious Zionism dan Yulia Malinovsky daripada parti Yisrael Beiteinu.

Knesset meluluskan bacaan kedua dan ketiga rang undang-undang itu, sekali gus secara rasmi menjadikannya undang-undang.

Undang-undang itu diluluskan dengan sokongan 93 anggota Knesset, tanpa undi menentang atau berkecuali.

Akhbar Yedioth Ahronoth berkata, undang-undang itu akan menyediakan asas perundangan bagi apa yang disifatkannya sebagai “perbicaraan belum pernah berlaku sebelum ini”.

Hamas belum mengulas mengenai undang-undang itu.

Israel mendakwa, rakyat Palestin yang ditahan selepas peristiwa 7 Okt 2023 ialah anggota “pasukan elit” Hamas, walaupun mereka masih belum dibawa ke muka pengadilan.

Lebih 9,600 tahanan Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak kini ditahan di penjara Israel, menurut kumpulan hak asasi.

Tahanan berdepan penyeksaan, kebuluran dan pengabaian perubatan, selain ramai dalam kalangan mereka meninggal dunia.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video