Skip to main content

Dunia

Parlimen Iraq pilih ahli politik Kurdistan, Nizar Amedi sebagai Presiden

Iraq’s newly elected president Nizar Amedi attends a parliamentary session in Baghdad, Iraq, April 11, 2026. Iraqi Parliament Media Office/Handout via REUTERS
Presiden Iraq yang baharu dilantik, Nizar Amedi, menghadiri satu sidang Parlimen di Baghdad, Iraq. - Foto REUTERS

BAGHDAD: Parlimen Iraq pada Sabtu memilih ahli politik Kurdish, Nizar Amedi, sebagai presiden baharu negara itu, sekali gus menamatkan kebuntuan politik yang berlarutan dan menjejaskan pembentukan kerajaan sejak pilihan raya lalu.

Amedi, yang dicalonkan oleh Kesatuan Patriotik Kurdistan (PUK), memperoleh 227 undi dalam pusingan kedua pengundian, menewaskan calon bebas Muthanna Amin Nader yang hanya mendapat 15 undi.

Beliau menjadi presiden keenam Iraq sejak penggulingan Saddam Hussein dalam pencerobohan yang diketuai Amerika Syarikat (AS) pada 2003.

Berucap di Parlimen selepas pengumuman keputusan, Amedi mengakui cabaran besar yang menanti negara itu.

“Saya sedar sepenuhnya skala cabaran yang dihadapi Iraq,” katanya sambil berikrar untuk bekerjasama dengan ketiga-tiga cabang kerajaan dan menegaskan komitmen terhadap prinsip “Iraq Didahulukan”.

Beliau turut mengecam serangan yang menyasarkan Iraq semasa perang AS–Israel ke atas Iran baru-baru ini.

Pemilihan itu berlangsung ketika Iraq masih berdepan kesan konflik serantau susulan perang selama beberapa minggu antara AS, Israel dan Iran, yang dihentikan dengan gencatan senjata awal minggu ini.

Semasa konflik tersebut, kumpulan bersenjata yang disokong Iran di Iraq melancarkan serangan ke atas pangkalan dan kemudahan diplomatik AS, manakala serangan AS dan Israel ke atas kumpulan berkenaan turut mengorbankan anggota keselamatan Iraq.

Tumpuan kini beralih kepada pemilihan perdana menteri, yang dilihat sebagai jawatan paling berpengaruh dan sensitif dari segi politik.

Di bawah sistem perkongsian kuasa berasaskan mazhab yang diperkenalkan selepas 2003, perdana menteri mesti terdiri daripada pemimpin Syiah, speaker parlimen dari kalangan Sunni, manakala presiden dipegang oleh tokoh Kurdish.

Menurut pemerhati politik, pemilihan presiden sepatutnya diadakan dalam tempoh 30 hari selepas sidang pertama parlimen pada awal Disember, namun berulang kali ditangguhkan akibat persaingan parti, khususnya dalam kalangan parti-parti Kurdish.

Rangka Kerja Penyelarasan, gabungan parti Syiah yang disokong Iran dan menguasai majoriti parlimen, sebelum ini mengumumkan pencalonan bekas Perdana Menteri Nouri al-Maliki bagi jawatan perdana menteri.

Bagaimanapun, Presiden AS Donald Trump mengancam akan menarik balik sokongan AS terhadap Iraq sekiranya al-Maliki dipilih untuk membentuk kerajaan.

Mengikut Perlembagaan Iraq, Amedi kini mempunyai tempoh 15 hari untuk memberi mandat kepada calon daripada blok parlimen terbesar bagi membentuk kerajaan, dengan kabinet perlu dibentuk dalam masa 30 hari.

Amedi, 58, merupakan penjawat awam berpengalaman luas, pernah berkhidmat sebagai pembantu kanan kepada dua bekas presiden Iraq dan memegang jawatan Menteri Alam Sekitar dari 2022 hingga 2024.

Iraq kini telah hampir 150 hari beroperasi tanpa kerajaan baharu sejak pilihan raya parlimen diadakan pada November lalu.

 

Must Watch Video