Skip to main content

Dunia

Palestin desak siasatan genosid, jenayah perang Israel susulan pembunuhan di Tammoun

Mourners react as they carry the bodies of a Palestinian family, the parents and their two children, who were killed in an Israeli raid, during their funeral in Tammoun town near Tubas, amid the U.S.-Israeli conflict with Iran, in the Israeli-occupied West Bank, March 15, 2026. REUTERS/Mohammed Torokman
Pembunuhan beramai-ramai oleh tentera pendudukan Israel di bandar Tammoun, tenggara Toubas, pagi Ahad mengakibatkan kematian seorang lelaki Palestin, isteri, dan dua anak selepas tentera rejim itu melepaskan tembakan ke arah kenderaan mereka. -Gambar fail/Reuters

GAZA: Kementerian Hal Ehwal Luar dan Ekspatriat Palestin menggesa tindakan tegas antarabangsa untuk menjalankan siasatan berhubung genosid, jenayah perang dan jenayah kemanusiaan yang dilakukan terhadap rakyat Palestin berikutan pembunuhan empat sekeluarga di bandar Tammoun pada Ahad.

Kementerian itu menyeru masyarakat antarabangsa memastikan akauntabiliti penuh terhadap mereka yang bertanggungjawab dan menamatkan apa yang disifatkannya sebagai budaya bebas daripada hukuman (impunity) yang berterusan.

“Keganasan berterusan yang dilakukan oleh peneroka Israel di seluruh Tebing Barat yang diduduki, bukanlah insiden terpencil, tetapi sebahagian kempen lebih luas dan sistematik bertujuan memusnahkan dan memindahkan rakyat Palestin secara paksa, mengeksploitasi ketegangan serantau.

“Israel bertanggungjawab sepenuhnya dan secara langsung atas jenayah ini serta serangan terhadap orang awam Palestin,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Kementerian itu merujuk pada pembunuhan beramai-ramai terbaharu oleh tentera pendudukan Israel di bandar Tammoun, tenggara Toubas, pada pagi Ahad yang mengakibatkan kematian seorang lelaki Palestin, isteri dan dua anak mereka selepas tentera rejim itu melepaskan tembakan ke arah kenderaan mereka.

Dua lagi kanak-kanak turut cedera, menurut kenyataan itu.

“Jenayah tersebut merupakan tindakan pembunuhan di luar penghakiman undang-undang yang mengejutkan, kerana satu keluarga Palestin dengan sengaja dijadikan sasaran ketika berada di dalam kereta mereka.

“Tentera Israel juga dilaporkan menghalang pasukan perubatan Bulan Sabit Merah Palestin daripada pergi kepada mangsa dan membantu yang cedera, meninggalkan mereka tanpa bantuan perubatan segera," katanya.

Kementerian itu menambah ia akan terus mempergiat usaha politik, undang-undang dan diplomatiknya di seluruh forum antarabangsa untuk menangkap pelaku dan semua yang bertanggungjawab atas dasar pembunuhan, pengusiran dan menyasarkan keluarga serta kanak-kanak Palestin.

Menurut kementerian berkenaan, usaha juga akan memfokuskan pada mendapatkan perlindungan antarabangsa untuk rakyat Palestin, mempertahankan kehadiran rakyat Palestin di tanah airnya dan menegakkan hak-hak kebangsaan rakyat Palestin yang sah mengikut undang-undang antarabangsa serta resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video