NAYPYIDAW: Myanmar hari ini mengadakan sidang parlimen pertamanya dalam tempoh lima tahun, menandakan pembukaan rasmi legislatif baharu sejak rampasan kuasa tentera pada 2021.
Sidang Dewan Rendah bermula sekitar jam 10 pagi di Naypyidaw, disusuli Dewan Negara dua hari kemudian.
Sidang ini berlangsung selepas pilihan raya berfasa pada Disember dan Januari, yang dikritik pemerhati sebagai tidak bebas dan tidak adil.
Parti protentera, Union Solidarity and Development Party (USDP), memenangi majoriti kerusi, sementara pihak tentera secara automatik menguasai 25 peratus kerusi parlimen seperti diperuntukkan dalam perlembagaan.
Gabungan tentera dan sekutunya kini menguasai lebih 86 peratus kerusi di dua dewan parlimen.
Parlimen yang baharu ini dijangka memilih Speaker setiap dewan sebagai urusan pertama, sebelum meneruskan proses memilih presiden dan dua naib presiden.
Ketua junta, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing, dijangka ramai akan mengambil alih jawatan presiden, meskipun perlembagaan melarang seseorang memegang jawatan Presiden dan Panglima Angkatan Tentera secara serentak, menimbulkan persoalan mengenai langkah seterusnya dalam struktur kuasa negara itu.
Walaupun kerajaan tentera menggambarkan pilihan raya itu sebagai langkah ke arah pemulihan demokrasi, pengkritik menyifatkannya sebagai usaha memberikan legitimasi palsu kepada pemerintahan junta.
Pilihan raya tidak dijalankan di banyak kawasan yang kini dikuasai kumpulan pemberontak, di tengah-tengah perang saudara yang kian meruncing selepas penyingkiran kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi pada 2021.
Suu Kyi yang kini berusia 80 tahun masih dipenjarakan dan menjalani hukuman 27 tahun atas tuduhan yang dianggap bermotif politik.
Parti beliau, National League for Democracy (NLD), dibubarkan pada 2023 selepas enggan mendaftar di bawah peraturan baharu junta.
Sidang parlimen kali ini dilihat sebagai perkembangan politik penting, namun penganalisis menjangka ia tidak membawa kepada pemerintahan awam sepenuhnya memandangkan penguasaan mutlak tentera dalam kedua-dua dewan.
Keadaan itu menimbulkan jangkaan bahawa kerajaan baharu hanyalah kesinambungan pemerintahan tentera dalam rupa bentuk baharu.