ISTANBUL: Menteri luar Iran dan Arab Saudi berbincang menerusi telefon pada Isnin mengenai perkembangan terkini proses diplomatik antara Tehran dan Washington yang diusahakan melalui pengantaraan Pakistan, lapor Anadolu Ajansi yang memetik sebuah akhbar tempatan.
Agensi berita rasmi Iran, IRNA melaporkan, perbincangan antara Abbas Araghchi dan Putera Faisal bin Farhan Al Saud itu merupakan panggilan telefon kedua antara kedua-dua pihak dalam tempoh 24 jam lepas.
Ketegangan serantau meningkat sejak Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Feb, yang mencetuskan tindak balas daripada Tehran terhadap Israel serta sekutu AS di Teluk, selain penutupan Selat Hormuz.
Satu gencatan senjata berkuat kuasa pada 8 April melalui pengantaraan Pakistan, namun rundingan di Islamabad gagal menghasilkan perjanjian yang kekal. Tempoh gencatan senjata itu kemudiannya dilanjutkan oleh Presiden AS Donald Trump tanpa menetapkan tarikh tamat.
Pada Ahad, Iran menghantar maklum balas kepada Pakistan berhubung cadangan AS untuk menamatkan peperangan itu, namun Trump menolaknya sebagai "sama sekali tidak boleh diterima".
-- BERNAMA-ANADOLU