HACHIROGATA: Sebuah majlis tempatan di Jepun mengundi untuk menyingkirkan datuk bandar yang tidak sedarkan diri sejak beberapa bulan lalu akibat masalah kesihatan.
Kikuo Hatakeyama, 72, yang menjadi Datuk Bandar Hachirogata sejak 2008, dimasukkan ke hospital pada Februari selepas mengalami pendarahan otak.
Sejak itu, beliau tidak sedarkan diri dan tidak dapat menjalankan tugas rasmi.
Majlis bandar tersebut sebulat suara meluluskan undi tidak percaya terhadap beliau, sekali gus menyebabkan jawatannya akan terlucut secara automatik pada 19 Mei ini.
Menurut persatuan kebangsaan majlis bandar dan kampung Jepun, tindakan undi tidak percaya terhadap datuk bandar atas faktor kesihatan adalah sesuatu yang jarang berlaku.
Dalam kenyataan rasmi, majlis tersebut menyifatkan keputusan berkenaan sebagai sukar, namun perlu dari segi pentadbiran bagi memastikan kelancaran pengurusan bandar.
Sebelum ini, isteri Hatakeyama dilaporkan meminta majlis menilai kemampuan suaminya untuk terus memegang jawatan, mencadangkan agar beliau meletakkan jawatan secara rasmi.
Namun, undang-undang tempatan menetapkan hanya penyandang jawatan sendiri boleh mengemukakan notis peletakan jawatan, menyebabkan undi tidak percaya menjadi jalan paling cepat untuk menyelesaikan isu tersebut.
Pilihan raya bagi memilih pengganti dijangka diadakan dalam tempoh 50 hari.
Hachirogata yang terletak di wilayah Akita mempunyai kira-kira 5,000 penduduk, dengan ekonomi tempatan bergantung kepada sektor pertanian dan perikanan.