HAGENBACH: Seorang lelaki di Perancis didakwa selepas dipercayai mengurung anak lelakinya yang berusia sembilan tahun di dalam sebuah van selama lebih setahun, menurut pihak pendakwaan.
Kanak-kanak itu ditemui pada Isnin lalu selepas jiran-jiran di bandar Hagenbach, wilayah Alsace, mendengar “bunyi seorang kanak-kanak” dari sebuah van yang diletakkan di kawasan bersama sebuah blok pangsapuri.
Pendakwa raya memaklumkan kanak-kanak tersebut ditemui dalam keadaan menyedihkan, berbaring tanpa pakaian di bawah selimut, di atas timbunan sampah berhampiran najis manusia.
Mangsa dilaporkan mengalami kekurangan zat makanan dan tidak mampu berjalan akibat berada dalam posisi yang sama untuk tempoh lama.
Bapa mangsa yang berusia 43 tahun, yang identitinya tidak didedahkan, memberitahu pihak berkuasa bahawa dia telah menempatkan anak lelakinya di dalam van sejak November 2024.
Menurut pendakwa raya, lelaki itu mendakwa tindakannya bertujuan “melindungi” kanak-kanak berkenaan daripada pasangannya yang berusia 37 tahun, yang didakwa mahu menempatkan kanak-kanak itu di pusat rawatan psikiatri.
Pasangan tersebut tinggal di blok pangsapuri berkenaan bersama dua lagi kanak-kanak, seorang anak perempuan berusia 12 tahun dan seorang anak tiri perempuan berusia 10 tahun.
Menurut laporan akhbar Le Parisien, kanak-kanak lelaki itu memberitahu polis bahawa bapanya memberikan makanan dua kali sehari serta meninggalkan botol air untuknya.
Dia juga berkata terpaksa membuang air kecil ke dalam botol plastik dan membuang air besar ke dalam beg sampah, selain tidak mandi sejak hujung tahun 2024.
Penduduk sekitar memberitahu polis bahawa mereka menyedari kanak-kanak itu “hilang secara tiba-tiba” pada akhir tahun lalu, namun dimaklumkan oleh pasangan berkenaan bahawa dia telah ditempatkan di pusat jagaan.
Menurut jiran-jiran, bunyi dari dalam van terdengar sekali-sekala, tetapi mereka diberitahu bunyi tersebut hanyalah bunyi kucing.
Menurut bapa kanak-kanak itu, pasangannya tidak mengetahui bahawa anak lelaki tersebut dikurung di dalam van berkenaan.
Lelaki itu kini didakwa atas kesalahan “menyeksa dan menahan kanak-kanak secara sewenang-wenangnya”, selain gagal menyediakan makanan dan rawatan perubatan yang sepatutnya. Dia telah direman bagi membantu siasatan.
Pasangannya pula didakwa atas kesalahan “tidak memberi bantuan kepada kanak-kanak dalam bahaya” serta “gagal melaporkan penderaan terhadap kanak-kanak”. Wanita itu dibebaskan dengan jaminan bersyarat.
Ketiga-tiga kanak-kanak terbabit kini ditempatkan di pusat jagaan sementara menunggu keputusan lanjut daripada hakim mahkamah kanak-kanak.