WASHINGTON: WASHINGTON, 14 Mac (Bernama-Anadolu) -- Lebih 822,000 penduduk di Lubnan, termasuk hampir 300,000 kanak-kanak telah didaftarkan sebagai hilang tempat tinggal di tengah-tengah serangan berterusan Israel ke atas negara itu, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat, lapor Anadolu Ajansi.
Jurucakap PBB Stephane Dujarric memberitahu pemberita bahawa 28,000 orang kini berlindung di hampir 600 tapak kolektif di seluruh negara.
“Kami sudah tentu menjangkakan bahawa jumlah sebenar mereka yang hilang tempat tinggal adalah jauh lebih tinggi. Kami sekali lagi menegaskan keperluan bagi akses kemanusiaan yang selamat dan tanpa halangan,” katanya.
PBB dan kerajaan Lubnan turut melancarkan rayuan kemanusiaan bagi mendapatkan AS$308.3 juta untuk menyediakan bantuan menyelamatkan nyawa kepada satu juta penduduk yang terjejas akibat krisis berterusan di Lubnan.
Kenyataan itu dibuat ketika Israel memperluas kempen ketenteraannya dengan melancarkan serangan udara ke atas pinggir bandar selatan Beirut serta kawasan di selatan dan timur Lubnan.
Pada 3 Mac, Israel turut melancarkan pencerobohan darat terhad ke selatan Lubnan selepas memulakan kempen ketenteraan bersama dengan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran pada 28 Feb lepas.
-- BERNAMA-ANADOLU