CALIFORNIA: Lapan peluncur salji (backcountry skiers) ditemukan maut manakala seorang lagi masih hilang selepas runtuhan salji besar melanda kawasan Castle Peak berhampiran Tasik Tahoe, California, pada Selasa.
Menurut Sheriff Daerah Nevada, Shannan Moon, operasi yang pada mulanya berfokus kepada usaha menyelamat kini bertukar kepada misi mencari dan membawa keluar mangsa, berikutan keadaan cuaca ekstrem yang membahayakan pasukan penyelamat..
Runtuhan salji sekitar 11.30 pagi itu telah menimbuskan sekumpulan 15 peluncur, yang ketika itu sedang mengakhiri hari terakhir ekspedisi tiga hari di Pergunungan Sierra Nevada.
Enam daripada mereka berjaya diselamatkan, dua daripadanya dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Pihak berkuasa mengesahkan ini merupakan insiden runtuhan salji paling buruk di Amerika Syarikat dalam lebih empat dekad, dengan rekod serupa kali terakhir dicatatkan pada 1981.
Cuaca buruk dengan salji tebal, angin kencang dan risiko runtuhan susulan terus menyukarkan operasi mencari mangsa terakhir.
Kumpulan itu difahamkan berada di bawah seliaan syarikat pemandu gunung Blackbird Mountain Guides dan kesemua mangsa ditemui dalam jarak berhampiran berdasarkan isyarat beacon kecemasan yang mereka bawa. - Agensi