SHREVEPORT (LOUISIANA): Lapan kanak-kanak berusia antara satu hingga 14 tahun maut dalam satu insiden tembakan di Shreveport, Louisiana, awal pagi Isnin, yang disifatkan polis sebagai kejadian keganasan domestik.
Menurut pihak berkuasa, kejadian berlaku sekitar jam 5 pagi waktu tempatan apabila seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah 10 individu sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta yang dicuri.
Suspek kemudiannya dikejar polis sebelum ditembak mati dalam satu operasi kejar-mengejar di kawasan kejiranan berhampiran.
Datuk Bandar Shreveport, Tom Arceneaux berkata, tragedi berkenaan memberi kesan mendalam kepada seluruh komuniti.
“Kita mempunyai keluarga yang sedang berduka, anggota polis yang terkesan serta petugas forensik. Insiden ini menjejaskan seluruh komuniti dan kami sama-sama berkabung bersama keluarga mangsa,” katanya.
Bagaimanapun, polis belum mendedahkan identiti suspek mahupun mangsa, namun memaklumkan, beberapa kanak-kanak yang terlibat dipercayai mempunyai pertalian keluarga dengan suspek.
“Ini satu tragedi amat menyayat hati, mungkin yang terburuk pernah berlaku di Shreveport,” tambah Arceneaux sambil meminta orang ramai mendoakan keluarga mangsa dan seluruh warga bandar itu.
Polis memaklumkan, terdapat beberapa lokasi kejadian, termasuk dua buah rumah di blok yang sama di West 79th Street serta sebuah lagi kediaman di Harrison Street.
Jurucakap Polis Shreveport, Corporal Chris Bordelon, berkata pihaknya tiba di sebuah rumah sebelum jam 6 pagi dan menjumpai kanak-kanak terbabit.
“Semua mangsa yang meninggal dunia dalam kes ini adalah kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati panggilan kecemasan itu berkaitan pertikaian domestik, dan memaklumkan salah seorang mangsa yang ditembak sempat melarikan diri ke rumah berhampiran.
Selepas kejadian tembakan, suspek dilaporkan merampas sebuah kenderaan sebelum cuba meloloskan diri, namun berjaya dikejar dan ditembak mati oleh polis di kejiranan lain.
Ketua Polis Shreveport, Wayne Smith berkata, hatinya bersama seluruh komuniti yang terjejas akibat kejadian itu.
“Saya tidak dapat membayangkan bagaimana kejadian sebegini boleh berlaku,” katanya sambil memaklumkan siasatan dijalankan bersama Polis Negeri Louisiana dengan bantuan beberapa agensi lain.
“Kami akan terus bekerja seberapa lama yang diperlukan bagi mendapatkan jawapan terhadap apa yang sebenarnya berlaku,” tambahnya.
Gabenor Louisiana, Jeff Landry menerusi kenyataan berkata, beliau dan isterinya amat berdukacita dengan tragedi berkenaan.
“Kami berasa amat sedih dengan kejadian mengerikan ini dan mendoakan semua yang terkesan. Kami juga menghargai usaha keras anggota penguat kuasa undang-undang serta pasukan penyelamat di lokasi kejadian,” katanya.
Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat, Mike Johnson yang mewakili Daerah Keempat Louisiana menyifatkan insiden itu sebagai tragedi yang memilukan.
“Kami mengingati mangsa, keluarga mereka serta komuniti Shreveport dalam doa dan ingatan kami pada saat sukar ini,” katanya sambil memuji tindakan pantas pihak polis tempatan.
Menurut data Arkib Keganasan Senjata Api (Gun Violence Archive), kejadian itu merupakan insiden tembakan beramai-ramai paling maut di Amerika Syarikat sejak Januari 2024, apabila lapan individu ditembak mati di Joliet, Illinois.
Organisasi itu mentakrifkan tembakan beramai-ramai sebagai kejadian di mana empat atau lebih mangsa ditembak, tidak termasuk suspek. - Agensi