Skip to main content

Dunia

Korea Selatan mohon status warisan UNESCO untuk ginseng, taekwondo

ginseng taekwondo
Keputusan muktamad mengenai pencalonan akan dibuat semasa sesi ke-23 Jawatankuasa Antara Kerajaan bagi Perlindungan Warisan Budaya Tidak Ketara pada Disember 2028, selepas semakan oleh Sekretariat UNESCO dan badan penilai. - Gambar Adobe Stock

SEOUL: Korea Selatan memohon pengiktirafan warisan budaya tidak ketara Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi budaya ginsengnya serta merancang permohonan bagi tradisi latihan seni bela diri taekwondo, lapor Agensi Berita Yonhap.

Perkhidmatan Warisan Korea (KHS) memaklumkan bahawa pihaknya mengemukakan pencalonan untuk dimasukkan ke dalam Senarai Perwakilan Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan UNESCO bagi “The Insam Tradition: Knowledge, Skills, and Cultural Practices Related to Ginseng in the Republic of Korea.

Tradisi ginseng mencerminkan kepercayaan lama masyarakat Korea terhadap kesihatan dan umur yang panjang, merangkumi teknik penanaman dan pemprosesan serta amalan berkaitan seperti ritual, penyediaan makanan dan pemberian hadiah.

Menurut agensi itu, tradisi berkenaan juga menjadi simbol perpaduan dan kesejahteraan komuniti yang diwarisi melalui amalan dan pendidikan.

Keputusan muktamad mengenai pencalonan akan dibuat semasa sesi ke-23 Jawatankuasa Antara Kerajaan bagi Perlindungan Warisan Budaya Tidak Ketara pada Disember 2028, selepas semakan oleh Sekretariat UNESCO dan badan penilai.

Berhubung tradisi latihan taekwondo, KHS memaklumkan pada Januari bahawa ia telah dipilih sebagai calon bagi pusingan seterusnya untuk pencalonan bersama atau lanjutan.

Warisan yang dicadangkan, “Taekwondo: A Dojang-centred Korean Training Tradition,” disifatkan sebagai budaya latihan yang berteraskan komuniti “dojang” (dewan latihan), dengan nilai dan kemahiran diperturunkan daripada guru kepada pelajar merentas generasi.

KHS berharap taekwondo dapat disenaraikan secara bersama dengan Korea Utara, seperti penyenaraian bersama “ssireum” atau gusti tradisional Korea pada 2018.

Bagaimanapun, Korea Utara mengemukakan pencalonannya sendiri bertajuk “Taekwondo, Traditional Martial Art in the Democratic People's Republic of Korea” pada Mac 2024, yang kini sedang dalam penilaian.

-- BERNAMA-YONHAP

Must Watch Video