ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Sabtu berkata beliau menolak penglibatan puak Kurdish dalam serangan terhadap Iran dengan menyatakan Washington tidak mahu konflik itu menjadi “lebih rumit”, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Media AS dan Israel melaporkan sejak beberapa hari kebelakangan ini, pentadbiran Amerika telah berhubung dengan kumpulan bersenjata Kurdish di Iraq serta memberikan sokongan dalam usaha menentang Tehran.
Bercakap kepada pemberita di dalam pesawat Air Force One ketika dalam perjalanan ke Miami, Trump berkata AS mengekalkan hubungan baik dengan puak Kurdish namun telah menasihatkan mereka supaya tidak menyertai konflik itu.
“Kami sangat mesra dengan Kurdish, seperti yang anda tahu, tetapi kami tidak mahu menjadikan konflik ini lebih rumit daripada yang sedia ada,” kata Trump.
Beliau menambah bahawa beliau secara jelas memberitahu kumpulan Kurdish supaya tidak mengambil bahagian dalam pertempuran walaupun mereka bersedia untuk berbuat demikian.
Trump membayangkan bahawa konflik itu boleh membentuk semula masa depan Iran dengan menyatakan peta negara itu mungkin tidak lagi kelihatan sama apabila konflik berakhir.
Ketika ditanya sama ada sempadan Iran akan kekal tidak berubah, beliau berkata: “Saya tidak dapat memberitahu anda. Mungkin tidak.”
Presiden itu turut memberi isyarat bahawa AS mungkin berusaha membawa perubahan politik di Tehran dengan menyatakan Washington mahu “memilih seorang presiden yang tidak membawa mereka ke arah perang.”
Trump turut mendakwa serangan AS telah melemahkan struktur kepimpinan Iran dengan ketara.
“Kami telah menyingkirkan kepimpinan tertinggi dan juga peringkat kedua kepimpinan,” katanya sambil menambah bahawa Iran kini berada pada “peringkat ketiga atau keempat kepimpinan.”
Beliau berkata pengerahan tentera darat AS untuk mengawal uranium diperkaya di tapak nuklear Iran mungkin dipertimbangkan pada peringkat kemudian, namun bukan buat masa ini.
Ditanya mengenai peranan Rusia, Trump berkata beliau “tidak mempunyai petunjuk” bahawa Moscow menyokong Iran. Mengenai tempoh konflik itu, beliau berkata serangan akan diteruskan "selama mana yang diperlukan," sambil mendakwa tentera Iran kini "hampir tidak lagi wujud."
-- BERNAMA-ANADOLU