TEHRAN: Iran mengecam keras ancaman terbaharu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang memberi amaran akan melancarkan serangan besar-besaran ke atas infrastruktur penting Iran sekiranya Selat Hormuz tidak dibuka semula, sambil menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak bertanggungjawab dan berpotensi mencetuskan jenayah perang.
Ancaman itu disuarakan Trump menerusi satu kenyataan di platform media sosial Truth Social pada hujung minggu lalu, di mana beliau menetapkan tarikh akhir baharu kepada Tehran untuk membuka semula Selat Hormuz, laluan strategik yang mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak dan gas dunia.
Trump memberi amaran bahawa sekiranya tuntutan itu tidak dipenuhi, AS akan menyasarkan loji janakuasa dan jambatan utama di Iran, dalam apa yang digambarkannya sebagai “serangan yang tidak pernah disaksikan sebelum ini”.
Sebagai tindak balas, pegawai kanan Iran menolak ultimatum tersebut dan menyifatkannya sebagai bukti kegagalan diplomasi Washington.
Misi Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata ancaman terbuka terhadap infrastruktur awam melanggar undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Geneva.
“Sekali lagi, presiden AS secara terbuka mengancam untuk memusnahkan infrastruktur yang penting bagi kelangsungan hidup orang awam,” menurut kenyataan misi Iran ke PBB, sambil menyeru masyarakat antarabangsa bertindak segera bagi menghalang sebarang serangan.
Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf, turut mengecam Trump dengan berkata tindakan melulu Washington hanya akan menjerumuskan rantau itu ke dalam konflik yang lebih luas, serta menyeret rakyat AS ke dalam “kancah penderitaan yang tidak perlu”.
Selat Hormuz merupakan laluan pelayaran penting yang menghubungkan Teluk Parsi dengan Laut Arab.
Sejak konflik bersenjata antara AS, Israel dan Iran tercetus pada akhir Februari, pergerakan perkapalan di selat itu dilaporkan terjejas teruk akibat serangan balas dan sekatan ketenteraan.
Iran sebelum ini menyatakan bahawa sekatan di laluan itu hanya melibatkan kapal dari negara yang terlibat secara langsung dalam serangan ke atas wilayahnya, manakala kapal dari negara berkecuali masih dibenarkan melalui dengan koordinasi tertentu.
Penutupan atau gangguan berpanjangan di Selat Hormuz telah mencetuskan kebimbangan global, dengan harga minyak melonjak dan pasaran tenaga antarabangsa terkesan, terutamanya negara-negara pengimport di Asia dan Eropah.
Sementara itu, usaha diplomatik oleh beberapa negara perantara, termasuk Pakistan, Turkiye dan Mesir, masih diteruskan bagi meredakan ketegangan dan membawa kedua-dua pihak kembali ke meja rundingan.
Namun, setakat ini tiada tanda jelas bahawa konflik tersebut akan reda dalam masa terdekat.
Pemerhati antarabangsa memberi amaran bahawa sebarang serangan ke atas infrastruktur awam boleh mengundang implikasi undang-undang serius serta memperluaskan lagi konflik di Asia Barat, menjejaskan kestabilan ekonomi global.