MADRID: Sepanyol bertindak menutup ruang udaranya kepada pesawat Amerika Syarikat (AS) yang terlibat dalam serangan ke atas Iran.
Menteri Pertahanan, Margarita Robles berkata ia sebagai langkah terbaharu negara itu untuk menentang konflik di rantau Asia Barat.
“Kita tidak membenarkan penggunaan pangkalan tentera mahupun ruang udara bagi apa‑apa tindakan yang berkaitan dengan perang di Iran,” katanya ketika ditemui pemberita di Parlimen hari ini.
Robles menegaskan kerajaan Sepanyol telah memaklumkan kepada pihak tentera AS terlebih dahulu.
Tambahnya, ia turut melibatkan larangan penggunaan pangkalan seperti yang telah dilaksanakan oleh Perdana Menteri Pedro Sanchez pada 2 Mac lalu.
“Kami tidak akan memberi kebenaran penggunaan pangkalan kami bagi sebarang tindakan yang berkaitan dengan perang di Iran… kami telah menjelaskan perkara ini kepada kerajaan Amerika dari awal,” katanya lagi.
Terdahulu Sepanyol menolak permintaan tentera AS untuk menggunakan pangkalan tentera Rota dan Moron di selatan Sepanyol, sekali gus memaksa 15 pesawatnya dipindahkan.
Presiden AS, Donald Trump turut mengancam untuk mengurangkan hubungan perdagangan dengan Madrid selepas tindakan tersebut.
Di bawah kerajaan berhaluan kiri pimpinan Sanchez, Sepanyol menjadi antara suara paling lantang di Eropah yang menentang tindakan ketenteraan AS dan Israel di Asia Barat.