Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Presiden Iran mohon maaf serang negara jiran

Iranian President Masoud Pezeshkian speaks during a meeting in Tehran, Iran, February 21, 2026. Iran's Presidential website/WANA (West Asia News Agency)/Handout via REUTERS
Presiden itu berkata, majlis kepimpinan sementara Iran yang dianggotai tiga orang telah meluluskan penggantungan serangan terhadap negara-negara jiran kecuali jika serangan terhadap Iran datang dari negara tersebut. - Foto fail/REUTERS

DUBAI: Presiden Iran, Masoud Pezeshkian memohon maaf atas serangan Iran ke atas negara-negara jiran, sambil menegaskan bahawa Tehran akan menghentikan serangan tersebut.

Bagaimanapun, negara-negara Teluk berkata, mereka telah memintas lebih banyak peluru berpandu balistik dan dron yang dilancarkan dari Iran pada Sabtu ketika konflik memasuki minggu kedua.

“Saya harus meminta maaf kepada negara-negara jiran yang telah diserang oleh Iran, bagi pihak saya sendiri,” kata Pezeshkian dalam ucapan yang disiarkan di televisyen negara. 

“Mulai sekarang, mereka (pihak tentera) tidak sepatutnya menyerang negara jiran atau menembak peluru berpandu ke arah mereka, kecuali kita diserang oleh negara-negara tersebut. Saya fikir kita perlu menyelesaikan perkara ini melalui diplomasi.”

Presiden itu berkata, majlis kepimpinan sementara Iran yang dianggotai tiga orang telah meluluskan penggantungan serangan terhadap negara-negara jiran kecuali jika serangan terhadap Iran datang dari negara tersebut.

“Majlis kepimpinan sementara bersetuju semalam bahawa tidak akan ada lagi serangan terhadap negara jiran dan tiada peluru berpandu akan ditembak kecuali serangan terhadap Iran berasal dari negara-negara itu,” katanya.

Kenyataan Pezeshkian turut menyebut bahawa majlis kepimpinan Iran telah berhubung dengan angkatan tentera berhubung serangan yang melibatkan ratusan peluru berpandu dan dron.

Serangan berulang Iran berlaku pada Sabtu ke atas Qatar, Bahrain, Arab Saudi dan UAE.

Pejabat Pezeshkian kemudian mengulangi bahawa tentera Iran akan bertindak balas dengan tegas terhadap sebarang serangan yang datang dari pangkalan AS di rantau itu.

Jeneral Abolfazl Shekarchi, jurucakap angkatan tentera Iran, turut mengulangi mesej Presiden dengan berkata, Iran tidak akan mensasarkan negara jiran yang wilayahnya tidak digunakan untuk menyerang Iran.

Beberapa jam selepas ucapan rakaman Pezeshkian disiarkan, Pasukan Pengawal Revolusi Iran mendakwa dron mereka telah menyerang sebuah pusat pertempuran udara AS di Pangkalan Udara Al Dhafra berhampiran Abu Dhabi, ibu negara UAE.

UAE berkata, Iran melancarkan 16 peluru berpandu balistik dan 121 dron ke arah negara itu pada Sabtu, dengan hanya dua dron berjaya mengenai sasaran.

Pezeshkian juga menolak gesaan Presiden Donald Trump supaya Iran menyerah tanpa syarat. 

“Itu mimpi yang mereka boleh bawa ke liang lahad,” tegas beliau.

Tidak lama selepas mesej Pezeshkian, Trump memberi amaran dalam satu hantaran media sosial bahawa lebih ramai pegawai Iran akan menjadi sasaran, dengan menulis: “Hari ini Iran akan diserang dengan lebih hebat!” 

Trump turut menyebut tentang permohonan maaf Pezeshkian. - Agensi

Must Watch Video