WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Donald Trump dilapor sedang mempertimbang menghantar beribu-ribu lagi anggota tentera bagi memperkukuh operasi ketenteraan di Asia Barat ketika perang menentang Iran memasuki minggu ketiga.
Memetik laporan Reuters, langkah berkenaan bertujuan menyediakan lebih banyak pilihan kepada Trump dalam memperluas operasi Amerika Syarikat (AS) di bawah kempen ketenteraan “Operation Epic Fury”.
Walau bagaimanapun, keputusan berkenaan dilihat berisiko mengheret AS ke dalam konflik luar negara yang berpanjangan — satu situasi yang pernah dijanjikan oleh Trump untuk dielakkan sebelum ini.
Seorang pegawai White House yang enggan dikenali berkata tiada keputusan muktamad dibuat setakat ini.
“Presiden Trump mengekalkan semua pilihan yang ada,” katanya, sambil menambah bahawa tumpuan kini adalah memenuhi objektif operasi termasuk melumpuhkan kapasiti peluru berpandu balistik serta aset maritim Iran.
Matlamat tersebut selaras kenyataan rasmi CENTCOM yang menekankan penghapusan keupayaan misil Iran sebagai keutamaan operasi.
Antara pilihan yang dipertimbangkan ialah penempatan tentera sepanjang pesisiran pantai Iran bagi menjamin keselamatan laluan kapal dagang melalui Selat Hormuz.
Terdapat juga cadangan mengenai penghantaran pasukan ke Pulau Kharg, hab utama eksport minyak Iran, bagi menjejaskan kemampuan ekonomi dan ketenteraan negara itu.
Namun penganalisis keselamatan menilai sebarang tindakan darat di lokasi strategik tersebut sebagai sangat berisiko.