Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Penutupan Selat Hormuz dan ruang udara beri kesan rantaian bekalan global - Penganalisis

Hormuz
Penutupan Selat Hormuz bukan sahaja mengakibatkan harga akan naik malah menyebabkan bekalan teputus, kata Zokhri.

KUALA LUMPUR: Penutupan Selat Hormuz dan ruang udara di rantau Asia Barat akan menyebabkan ketidaktentuan dalam rantaian bekalan global, khususnya melibatkan minyak, gas serta industri penerbangan.

Felo Kanan, Institut Pertahanan dan Keselamatan Rabdan (RSDI), Dr Wan Zokhri Wan Idris berpendapat apabila Selat Hormuz berstatus kawasan ketenteraan menyebabkan syarikat insurans enggan melindungi syarikat-syarikat perkapalan.

“Ia mengakibatkan bukan sahaja harga akan naik bahkan bekalan akan terputus terus,” katanya semasa wawancara bersama Astro AWANI di segmen Konflik Asia Barat: Impak Kepada Industri Penerbangan Global hari ini.

Tambahnya, tindakan Iran menutup Selat Hormuz pada 2 Mac lalu turut memberi kesan kepada rantau Asia Timur seperti China dan Korea Selatan yang menggunakan minyak dan sumber tenaga daripada Iran.

Image
51633161967_TBZOKHRIjpg.jpg
Zokhri berpendapat apabila banyak pesawat tersadai di lapangan terbang akan memberi kesan kepada kos penyelenggaraan.

Menyentuh mengenai industri penerbangan, Zokhri berkata Qatar dan Emiriah Arab Bersatu merupakan hab terbesar yang menjalinkan destinasi utama dunia dan secara lazimnya beroperasi untuk 150 juta penumpang setahun.

Namun, sejak Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Februari lalu menyebabkan operasi lapangan terbang di Doha dan Abu Dhabi mengalami penurunan mendadak antara 10 peratus sehingga 50 peratus.

Zokhri juga berpendapat, apabila banyak pesawat tersadai di lapangan terbang akan memberi kesan kepada kos penyelenggaraan.

“Apabila pesawat-pesawat ini tersadai ia melibatkan kos penyelenggaraan, sewaan dan juga kos-kos yang lain yang akan memberi impak kepada syarikat-syarikat ini,” katanya.

Memasuki hari ke-12 pertempuran antara blok barat dan Iran, Zokhri menjangkakan sekiranya serangan melibatkan lokasi strategik seperti infrastruktur saluran tenaga maka peperangan akan menjangkau skala lebih besar dan berlarutan.

Topic Berkaitan

Must Watch Video